Terbitan bonus dijangka tingkatkan kebolehpasaran, kecairan saham Apex Healthcare - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Terbitan bonus dijangka tingkatkan kebolehpasaran, kecairan saham Apex Healthcare - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 April - Terbitan bonus Apex Healthcare Berhad sebelum ini dijangka meningkatkan kebolehpasaran dan kecairan sahamnya sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pemegang saham.

 

Public Investment Bank Research berkata, modal saham kumpulan itu adalah sebanyak RM130.06 juta terdiri daripada 477.7 juta saham dengan andaian sejumlah 3.2 juta skim opsyen saham pekerja tertunggak dilaksanakan, terbitan bonus akan menjadikan asas saham kepada 721.3 juta.

 

Katanya, terbitan bonus itu akan diterbitkan sebagai saham berbayar penuh pada pertimbangan kosong dan tanpa permodalan rizab kumpulan itu.

 

Saham bonus yang dicadangkan itu tidak akan layak mendapat dividen akhir dan khas masing-masing sebanyak 3.5 sen dan 2.0 sen yang dicadangkan bersama dengan pengumuman keputusan suku keempat 2022 syarikat.

 

"Ini kerana tarikh kelayakan untuk terbitan bonus yang dicadangkan ditetapkan selepas tarikh kelayakan bagi dividen yang dicadangkan. 

 

"Kami positif dan berpendapat bahawa terbitan bonus akan meningkatkan kebolehpasaran dan kecairan sahamnya, sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada asas pemegang saham yang lebih luas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Walaupun pelaksanaan korporat itu tidak mungkin memberi sebarang kesan ke atas asas-asas kumpulan, namun firma itu positif terhadap kecairan dan kebolehpasaran yang dipertingkatkan dalam jangka panjang.

 

Pada asas sesaham, firma itu berkata, pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 kumpulan akan dicairkan daripada 19.6 sen kepada 12.9 sen berdasarkan asas saham yang diperbesarkan sebanyak 721.3 juta saham.

 

"Sekiranya bonus yang dicadangkan diteruskan, harga sasaran kami akan diselaraskan kemudian kepada RM2.60. 

 

"Kami kekal dengan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM3.83 sesaham," katanya.

 

Terbitan bonus yang dicadangkan dijangka selesai pada suku kedua 2023. - DagangNews.com