AirAsia, AAX sasar pengurangan kos perniagaan penerbangan sebanyak 15% selepas penggabungan selesai | DagangNews Skip to main content

AirAsia, AAX sasar pengurangan kos perniagaan penerbangan sebanyak 15% selepas penggabungan selesai

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt - Perniagaan penerbangan Capital A Bhd, dijangka mengurangkan kos sebanyak 15% apabila selesai bergabung dengan syarikat penerbangan tambang rendahnya, AirAsia X Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, penggabungan itu akan menyaksikan pilihan penerbangan yang lebih luas, termasuk lebih banyak sambungan dan laluan baharu. 

 

Tony Fernandes, yang merupakan pemegang saham Capital A dan AAX berkata, pengurangan kos serta kekerapan penerbangan, mungkin diterjemahkan kepada harga tiket yang lebih rendah untuk penumpang.

 

“Kami menyaksikan tambang penerbangan naik dan turun, kerana kapasiti. Dengan gabungan ini, kami menyasar untuk menawarkan penerbangan dengan harga lebih rendah," katanya.

 

Capital A pada Isnin mendapat kelulusan pemegang saham minoritinya untuk melupuskan 100% kepentingannya dalam unit operasi AirAsia Malaysia iaitu AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd.

 

AirAsia Bhd, dan AirAsia Aviation Group Ltd merupakan pemegang saham syarikat penerbangan tambang rendah itu dengan harga RM6.8 bilion kepada AAX sebagai pertukaran untuk saham AAX , dan ubah suai hutang Capital A kepada AAX.

 

Perjanjian itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, sementara menunggu kelulusan daripada pemegang saham AAX pada EGM akan datang pada hari Rabu,16 Oktober.

 

Menjelang 2025, AirAsia merancang untuk meningkatkan armada operasinya sebanyak 21% daripada 63 kepada 76 pesawat, bagi menyokong pertumbuhan 12% dalam penerbangan harian (daripada 230 kepada 258) dan meningkatkan rangkaiannya dengan menambah lapan destinasi baharu ( daripada 98 kepada 106 destinasi).

 

Tony Fernandes berkata, pengaktifan semula itu akan meningkatkan keupayaan syarikat penerbangan itu dengan ketara untuk memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat merentasi pasaran yang mapan di Asia, Afrika dan Asia Barat.

 

"Pada 2026 hingga 2027, AirAsia akan mengembangkan ke pasaran strategik di Pasifik dan Asia Timur, dengan pertumbuhan selanjutnya dirancang di kawasan terpilih di Afrika.

 

"Menjelang 2028, AirAsia menyasar meluaskan jangkauannya di Asia Barat, dengan meneroka peluang di Eropah dan Amerika Utara menjelang 2030," katanya.- DagangNews.com