AirAsia menang dua kategori Anugerah Asia Pasifik Aviation 100, didorong kekuatan strategi kewangan | DagangNews Skip to main content

AirAsia menang dua kategori Anugerah Asia Pasifik Aviation 100, didorong kekuatan strategi kewangan

Oleh Shamsiah Zulkafli

SINGAPURA 6 Nov - AirAsia memenangi dua kategori utama di Anugerah Asia Pacific Aviation 100 iaitu Anugerah Urusan Perniagaan Keseluruhan Terbaik Asia-Pasifik dan Ketua Pegawai Kewangan/Perbendaharaan Terbaik Asia-Pasifik Tahunan, membuktikan kekuatan strategi kewangan AirAsia dan mendorong pemulihan berterusan.

 

Sebahagian daripada inisiatif strategik Capital A, perolehan hasil bon bernilai RM1.95 bilion pada Ogos 2024, menandakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.

 

Bon itu merangkumi RM881 juta daripada pelabur kredit swasta terkemuka, ditambah dengan RM1.07 bilion oleh penyewaan pesawat. 

 

airasia

 

Dana tersebut digunakan untuk mengaktifkan dan membiayai pesawat untuk membolehkan AirAsia memenuhi keperluan operasi semasa serta memperkukuh pertumbuhan jangka panjang.

 

Ia juga mendorong pertumbuhan operasi AirAsia untuk tahun 2025, membolehkan syarikat mengaktifkan semula pesanan pesawatnya dengan empat buah pesawat jenis A321neo baharu yang telah diterima pada 2024 dan lima buah lagi yang akan dijadualkan untuk penghantaran menjelang akhir tahun ini.

 

Selaras dengan pengembangan pesawat, dana tersebut turut diperuntukkan untuk meningkatkan kesalinghubungan di beberapa hab penting, bermula dengan Malaysia. 

 

Pada 2025, AirAsia merancang untuk memperkukuh kehadirannya di pasaran sedia ada seperti China dan India, terutamanya melalui sambungan yang diperluas ke lapangan terbang kedua.

 

Perkembangan terbabit akan menjadi asas untuk pertumbuhan lebih luas pada tahun 2026 dan 2027, di mana AirAsia akan memperluas rangkaiannya di Australia, Jepun dan Korea Selatan, serta melancarkan laluan baharu merentasi Afrika.

 

Selain anugerah tersebut, pasukan Kewangan/Perbendaharaan AirAsia juga menerima anugerah bagi peranan penting mereka dalam melaksanakan transaksi dan memacu syarikat dalam tempoh yang mencabar.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) AirAsia Aviation Group, Farouk Kamal berkata, bon itu bukan sahaja menandakan pemulihan kewangan, malah akan menjadi landasan strategik untuk era baharu pertumbuhan AirAsia. 

 

"Visi kami adalah untuk menghubungkan dunia ke Asean dan Asean ke dunia, dengan mewujudkan rangkaian laluan terluas di Asia-Pasifik dan rantau lain. 

 

"Dengan sokongan kewangan yang kukuh ini, strategi inovatif dan komitmen kepada kesalinghubungan global, AirAsia kini sedia untuk terus menerajui pasaran melalui pengembangan yang lebih kukuh dan perkhidmatan berfokuskan para tetamu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, menjelang akhir 2025, pihaknya akan meningkatkan operasi pesawat daripada 200 kepada 221 bagi meningkatkan kekerapan penerbangan dan memperkenalkan destinasi baharu. 

 

"Anugerah ini membuktikan kekuatan AirAsia dalam pengurusan kewangan, perancangan strategik dan urusan perniagaan yang inovatif. 

 

"Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa pasukan kewangan pesawat dan perbendaharaan kami yang efisien kerana kepakaran dan dedikasi mereka adalah kunci dalam mendapatkan bon tersebut," ujar beliau.

 

Anugerah Aviation 100 dianjurkan oleh Majalah Airline Economics, mengiktiraf prestasi cemerlang dalam industri penerbangan, pengurusan kewangan dan penyewaan inovatif dan berjaya diuruskan. 

 

Ia dinilai melalui tinjauan industri, proses penilaian yang terperinci dan pertimbangan daripada para pengarang yang mengiktiraf yang terbaik dalam kewangan dan penyewaan penerbangan. - DagangNews.com