Aizo Group beri penjelasan laporan tidak tepat berhubung MoU bersama Netrunner | DagangNews Skip to main content

Aizo Group beri penjelasan laporan tidak tepat berhubung MoU bersama Netrunner

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt - Aizo Group tampil menjelaskan mengenai satu artikel 
oleh The Edge bertajuk 'Frankly Speaking: Aizo’s data centre hub MoU raises questions' yang mempunyai beberapa percanggahan tentang memorandum persefahaman (MoU) untuk projek taman pusat data di Sarawak yang ditandatangani baru-baru ini.

 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menyatakan, artikel terbabit yang disiarkan pada Isnin, mengandungi maklumat yang salah dan memerlukan pembetulan untuk memastikan kejelasan dan ketepatan mengenai peranannya serta butiran berkaitan MoU bersama Netrunner Sdn Bhd untuk projek Taman Pusat Data Tier 4 yang dicadangkan di Sarawak.

 

Penjelasan itu melibatkan kenyataan modal berbayar RM100 Netrunner merujuk kepada maklumat dari laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia, namun jumlah sebenarnya adalah RM500,000 dan bukan seperti yang dilaporkan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aizo meneroka pusat data melalui MOU untuk hab pusat data Tahap 4 di Sarawak
 

Mengenai peranan kumpulan dalam projek tersebut, ia akan terlibat terutamanya dalam menyediakan sokongan infrastruktur, termasuk pembangunan penyelesaian tenaga bersih dan kemudahan rawatan air bagi memastikan kelestarian operasi pusat data, yang sejajar dengan kepakarannya dalam kejuruteraan awam dan pembangunan infrastruktur.

 

Kumpulan tersebut juga menyatakan bahawa peranannya dalam projek itu memberi tumpuan kepada penyediaan sokongan infrastruktur, sementara pencarian pelanggan akan dilakukan oleh Netrunner. - DagangNews.com