Alpha IVF Group percepatkan perkembangan perniagaan di pasaran Indonesia, China dan Filipina | DagangNews Skip to main content

Alpha IVF Group percepatkan perkembangan perniagaan di pasaran Indonesia, China dan Filipina

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Okt - Alpha IVF Group Bhd sedang berusaha mempercepatkan perkembangan perniagaannya ke beberapa pasaran utama termasuk Indonesia, China dan Filipina bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam penjagaan kesuburan.

 

Kumpulan itu merupakan antara pakar penjagaan kesuburan terbesar, yang kini beroperasi di Malaysia dan Singapura, dengan tumpuan pada perkhidmatan reproduktif berbantu (ARS), dan penekanan yang kuat terhadap persenyawaan in-vitro (IVF).

 

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group, Datuk Colin Lee Soon Soo berkata, kumpulan itu meluaskan jejaknya ke tiga pasaran itu bagi memanfaatkan pasaran permintaan terhadap penjahaan kesuburan dengan pihaknya merancang pembukaan klinik satelit baharu di seluruh rantau ini.

 

"Bagi menyokong sasaran pertumbuhan kumpulan, kami memberi tumpuan membangunkan aliran pendapatan baharu melalui rancangan penubuhan pusat IVF tambahan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

 

"Kumpulan juga bersedia untuk membuka dua lagi pusat IVF di Malaysia menjelang FY26, menjadikan jumlah pusat di negara ini kepada lima.

 

"Pelan pengembangan ini bukan sahaja akan menjadikan kadar kejayaan kami lebih mudah diakses oleh pasangan tanpa anak tetapi juga menyediakan kami untuk menjadi pemain IVF terkemuka di rantau ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kedua kumpulan hari ini, Alpha IVF Group mengulangi komitmennya untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 60% daripada keuntungan bersih tahunan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham setiap tahun.

 

Berikutan IPO awal tahun ini, kumpulan membayar dividen interim sebanyak 0.45 sen sesaham pada 15 Ogos 2024 bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (FY24).

 

Pembayaran dividen selepas penyenaraian berjumlah RM 21.9 juta.

 

Alpha IVF Group telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pengembangan serantau, baru-baru ini memasuki Indonesia, China, dan Filipina.

 

Pada 4 September 2024, kumpulan itu membuka pejabat jualan pertamanya di Shanghai, mewujudkan kehadiran langsung di China. 

 

Selain itu, Alpha IVF Group bekerjasama dengan hospital wanita terkemuka di Shanghai untuk memacu pertumbuhan pesakit dari China ke pusatnya di Malaysia. - DagangNews.com