Amerika Syarikat tarik balik larangan import sarung tangan terhadap syarikat Malaysia Brightway Group | DagangNews Skip to main content

Amerika Syarikat tarik balik larangan import sarung tangan terhadap syarikat Malaysia Brightway Group

Gambar/Brightway Holdings
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Okt - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menarik larangan import yang dikenakan terhadap sarung tangan getah yang dihasilkan oleh syarikat milik Malaysia, Brightway Group berikutan dakwaan amalan buruh paksa.

 

 

“Pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) telah meminda Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan pada 20 Disember 2021 terhadap sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh Brightway Holdings Sdn Bhd, Laglove (M) Sdn Bhd dan Biopro (M) Sdn Bhd yang berada di bawah Brightway Group Malaysia,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman web CBP.

 

 

Berkuat kuasa 11 Oktober 2024, AS membenarkan sarung tangan yang dihasilkan oleh Brightway Group memasuki negaranya, selagi ia mematuhi undang-undang. 

 

 

Brightway Group merupakan satu-satunya pengeluar sarung tangan Malaysia yang masih terikat dengan larangan CBP, selepas Supermax Corp Bhd dikeluarkan dari senarai sekatan pada September 2023.

 

 

Pengeluar sarung tangan lain yang pernah menghadapi larangan import termasuk Top Glove Corp Bhd, WRP Asia Pacific Sdn Bhd, YTY Industry Holdings Sdn Bhd (Kumpulan YTY) dan Smart Glove.

 

 

CBP juga mengenakan larangan terhadap eksport minyak sawit dan produk minyak sawit dari SD Guthrie Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd, dan FGV Holdings Bhd, berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

 

Larangan terhadap SD Guthrie telah diangkat pada Februari 2023 selepas dua tahun, manakala FGV mengumumkan pada Julai tahun ini bahawa mereka telah mengemukakan petisyen kepada CBP, memohon pindaan WRO yang dikenakan ke atas produknya pada September 2020 - DagangNews.com