AmInvestment naikkan unjuran untung bersih Chin Teck Plantations sebanyak 27% pada FY25 didorong harga minyak sawit lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

AmInvestment naikkan unjuran untung bersih Chin Teck Plantations sebanyak 27% pada FY25 didorong harga minyak sawit lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - AmInvestment Bank Research menyemak naik unjuran untung bersih Chin Teck Plantations Bhd sebanyak 27% bagi FY25 didorong harga dan margin minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya terlalu berhati-hati ketika membuat unjuran awal untuk kumpulan itu dengan menganggarkan Chin Teck mencatatkan penurunan untung bersih sebanyak 12.5% pada FY25 disebabkan margin keuntungan operasi yang lebih rendah.

 

"Kini kami menganggarkan keuntungan bersih kumpulan itu akan meningkat sebanyak 11.2% kepada RM97.1 juta pada FY25 berikutan harga MSM dan margin yang lebih baik.

 

"Kami telah mengandaikan harga purata MSM yang lebih kukuh sebanyak RM4,250/tan untuk FY25 berbanding RM4,000/tan sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, pada FY24, untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM87.3 juta berbanding RM53.4 juta pada tahun sebelumnya didorong lonjakan 26.1% dari segi pengeluaran buah tandan segar (BTS).

 

Katanya, pertumbuhan BTS yang kukuh sebanyak 26.1% pada FY24 adalah disebabkan ketiadaan banjir dan pemerolehan Fauzi-Lim Plantation pada FY23. 

 

"Kami percaya bahawa Fauzi-Lim Plantation menyumbang 2% daripada keluaran BTS Chin Teck," katanya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk pengeluaran BTS lebih lemah daripada jangkaan dan kejatuhan harga MSM.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar RM8.50 sesaham. - DagangNews.com