Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2024 terima sambutan luar biasa dengan 200 penyertaan | DagangNews Skip to main content

Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2024 terima sambutan luar biasa dengan 200 penyertaan

Anugerah Perhubungan Awam Malaysia Edisi Ke-16 akan diadakan pada 29 November 2024. Gambar/Facebook PCRA
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt – Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2024 anjuran Persatuan Perhubungan Awam & Komunikasi (PRCA), menerima sambutan luar biasa dengan hampir 200 penyertaan secara keseluruhan, termasuk lebih 100 penyertaan daripada agensi perhubungan awam (PR) yang bersaing dalam beberapa kategori antaranya anugerah paling berprestij, Anugerah Kempen Tahun Ini.

 

Para pemenang akan diraikan dalam majlis gala pada 29 November 2024.

 

Anugerah itu terus menjadi tanda kecemerlangan dalam mengiktiraf karya terbaik dalam kalangan profesional PR dari sektor swasta dan awam, serta institusi pengajian tinggi. 

 

Dengan pendekatan yang lebih holistik dan inklusif dalam komunikasi, PRCA Malaysia memperluas edisi ke-16 anugerah tersebut dengan memperkenalkan dua segmen baharu iaitu Anugerah Media dan Hadiah Pena Berpengaruh. 

 

Segmen Anugerah Media menampilkan 36 anugerah dalam 12 kategori, menghargai pencapaian luar biasa media cetak, dalam talian dan penyiaran, manakala Hadiah Pena Berpengaruh akan diberikan kepada pelajar komunikasi, mencabar bakat muda untuk menghasilkan naratif yang memberi impak serta membina generasi baharu professional.

 

Ketua Juri MPRA dan Setiausaha Kehormat PRCA, Stefanie Braukmann berkata, peningkatan yang signifikan dalam penyertaan tahun ini menunjukkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap MPRA dan komitmen PRCA untuk meningkatkan standard dalam industri PR. 

 

"Ketika kami meraikan ulang tahun ke-25 PRCA Malaysia, MPRA mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan pengamal PR. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan perjalanan kami yang mengagumkan, tetapi juga membuka jalan untuk membangunkan pemimpin masa depan dan memajukan industri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Edisi Ke-16 MPRA dengan tema Anda dan AI: Bersama Menuju Era Komunikasi Baharu, menyoroti kuasa transformasi AI dalam membentuk strategi komunikasi. 

 

Tema tersebut meraikan penggabungan AI dan kepakaran manusia, menunjukkan bagaimana teknologi dapat meningkatkan komunikasi sambil menghargai kreativiti, pertimbangan dan tanggungjawab etika manusia.

 

Selain itu, Sidang Kemuncak PR Malaysia juga akan diadakan pada 28 November 2024, yang memberikan peluang bagi pengamal PR untuk berinteraksi dengan trend terkini dan strategi inovatif dalam komunikasi. 

 

Kembali untuk edisi kelima, sidang tersebut akan menghimpunkan pemimpin dari pelbagai lapisan komunikasi termasuk eksekutif korporat, wakil sektor awam dan pengamal PR.

 

Dengan tema Berkomunikasi untuk Malaysia yang Lebih Baik: Reset, Reframe, Reimagine, ia akan meneroka bagaimana komunikasi dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan memupuk Malaysia yang lebih kuat dan bersatu, menyelaraskan strategi dengan standard global. - DagangNews.com