Apple pertimbang cadangan hasilkan cip selular, Inari berdepan risiko kehilangan perniagaan radio frekuensi | DagangNews Skip to main content

Apple pertimbang cadangan hasilkan cip selular, Inari berdepan risiko kehilangan perniagaan radio frekuensi

Gambar: freepik.com
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Dis - Inari Amertron Bhd berdepan risiko kehilangan perniagaan frekuensi radio (RF) apabila pelanggan utamanya, Apple sedang mempertimbangkan cadangan pengeluaran set cip selular sendiri pada masa hadapan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, Bloomberg melaporkan pada 4 Disember 2024, Apple akhirnya bersedia melancarkan modem selular dalaman (nama kod: Sinope) untuk rangkaian telefon pintar kos rendahnya pada 2025.

 

Katanya, pembekal utama Apple untuk set cip selular (modem/transceiver) telefon pintarnya ialah Qualcomm manakala cip sambungan (penapis FBAR) dibekalkan oleh Broadcom.

 

Broadcom merupakan pelanggan tunggal terbesar kumpulan, menyumbang kira-kira 75% daripada jumlah pendapatan Inari, termasuk segmen RF yang menyumbang 63% daripada hasil INARI.

 

"Walaupun Bloomberg mendakwa Sinope mungkin digunakan sepenuhnya dalam semua rangkaian iPhone menjelang 2027 tetapi kami berpendapat, komponen sambungan RFFE tidak mungkin berubah disebabkan kos perolehan rendah dan risiko tindakan undang-undang pelanggaran IP daripada Broadcom.

 

"Selanjutnya, Apple memperbaharui perjanjian bekalan berbilang tahunnya dengan Broadcom pada Mei 2023 untuk pelbagai komponen RF, dengan reka bentuk/pembuatan akan dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun nampaknya logik untuk Apple mengeluarkan sendiri modem selularnya, ia tidak bermakna mereka akan menyediakan set cip RF kerana strategi sedemikian mungkin tidak memberi sebarang keuntungan.

 

"Bagi jangka sederhana, kami menjangkakan jualan segmen RF Inari kekal berdaya tahan terhadap pertumbuhan kandungan yang lebih tinggi, walaupun permintaan akhir yang lemah akibat jualan iPhone yang perlahan di China," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM2.93 sesaham. - DagangNews.com