KUALA LUMPUR 21 Nov - Anak syarikat milik penuh tidak langsung Capital A Bhd, Asia Aviation Capital Limited (AACL), memeterai perjanjian pembaharuan dan pindaan sewa dengan AirAsia X Bhd (AAX).
Perjanjian tersebut melibatkan sewaan satu pesawat Airbus A330-300, dengan nombor siri pengeluar 1596, tertakluk kepada terma dan syarat yang dinyatakan dalam kontrak.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Capital A menyatakan bahawa perjanjian sewa itu sah selama dua tahun dari tarikh penyerahan.
"Jumlah nilai kontrak bagi sewa dua tahun ini dianggarkan sebanyak RM116.08 juta. Ini termasuk sewa dan simpanan penyelenggaraan," katanya.
Capital A menekankan bahawa AAX memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti tempat duduk di laluan baharu dan sedia ada bagi memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.
"Penambahan pesawat ini akan membolehkan AAX meningkatkan kapasiti dengan cepat dan menyediakan kapasiti tambahan untuk menangani tempoh perjalanan puncak, terutamanya semasa akhir tahun dan musim perayaan.
"Pesawat ini mempunyai konfigurasi kabin yang sama dengan armada sedia ada AAX, memastikan integrasi yang lancar dan konsistensi operasi dalam rangkaian AAX," tambahnya. - DagangNews.com