Astro kembali catat untung bersih RM46.3 juta pada 3QFY25 dipacu kos pembiayaan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Astro kembali catat untung bersih RM46.3 juta pada 3QFY25 dipacu kos pembiayaan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Astro Malaysia Holdings Bhd kembali mencatatkan keuntungan bersih RM46.3 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2024 (3QFY25) berbanding kerugian bersih RM49.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu kos pembiayaan yang lebih rendah didorong tukaran mata wang asing yang menguntungkan.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun menyusut kepada RM749.6 juta berbanding RM828.5 juta pada 3QFY24.

 

Tanpa mengambil kira keuntungan pertukaran matawang asing yang belum direalisasikan daripada liabiliti pajakan transponder, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal adalah sebanyak RM1 juta, di samping itu, penjanaan tunai kekal sihat dengan aliran tunai bebas sebanyak RM138 juta.

 

"Perbelanjaan pengiklanan (adex) iaitu sebanyak 13% suku tahun ke suku tahun bersamaan RM80 juta. Ini mencerminkan keupayaan syarikat dalam menyesuaikan diri serta terus memberikan nilai tambah kepada pengiklan dalam keadaan ekonomi semasa.

 

"Peningkatan ini didokong prestasi cemerlang Astro Radio, yang menyumbang RM40 juta adex syarikat, dengan pertumbuhan mengagumkan sebanyak 24%, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rangkaian radio nombor satu Malaysia, seperti laporan bancian bebas pendengar radio yang dilaksanakan oleh GfK baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selari dengan pelan transformasi syarikat, perniagaan berkaitan Astro mencatatkan peningkatan ketara dengan platform penstriman over-the-top (OTT) tempatan, sooka, menunjukkan prestasi kukuh pada suku itu.

 

Disokong oleh karya tempatan yang berjaya menarik perhatian penonton dan pengiklan, hasil adex sooka melonjak sebanyak 81% suku-ke-suku, walaupun dari asas yang rendah. 

 

"Pelanggan VIP berbayar juga meningkat sebanyak 77%, didorong oleh karya tempatan yang kuat, acara sukan Utama dan harga yang berpatutan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pihaknya perkenalkan Astro One, pakej hiburan baharu yang diolah khas untuk memudahkan pilihan dan memberi nilai tambah kepada isi rumah di Malaysia. 

 

"Melalui Entertainment Pack, Sports Pack, dan Epic Pack, kami ingin mempermudah para keluarga untuk menikmati kandungan bertaraf dunia—daripada produksi tempatan, ‘hits’ antarabangsa, hingga kegemaranserantau; semuanya disesuaikan mengikut minat, peranti dan bajet mereka.

 

"Ia juga merupakan kaedah menangani ancaman cetak rompak yang makin meningkat dengan menawarkan akses kepada karya digemari secara selamat dan mampu milik," katanya. - DagangNews.com