KUALA LUMPUR 30 Okt - Mercury Securities memberikan nilai wajar kepada Life Water Berhad pada 74 sen sesaham.
Penilaian dengan penarafan 'langgan' tersebut adalah lebih sebanyak 14% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 65 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 13 November 2024.
“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 11 kali ganda kepada EPS tahun kewangan 2025 (FY25), yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor itu selain mengambil kira bahagian pasaran kumpulan yang lebih kecil.
"Kami menyukai kumpulan itu kerana kedudukannya yang kukuh dalam pasaran Sabah, rangkaian pengedaran mantap dan pengembangan ke dalam pasaran Sarawak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, Life Water memegang 11% bahagian pasaran dalam sektor air botol Malaysia dan berkemungkinan pengeluar terbesar di Sabah.
Katanya, dengan pangkalan pelanggan melebihi 3,460 dan CAGR pengeluaran yang luar biasa sebanyak 17.4%, syarikat itu meningkatkan pengeluarannya daripada 167.6 juta botol pada FY21 kepada 271.2 juta pada FY24.
"Kejayaan Life Water disokong rangkaian pengedaran luas lebih 4,020 titik sentuh. Jangkauan luas ini memastikan produknya tersedia secara konsisten kepada pelanggan di kedua-dua pusat bandar yang sibuk dan lebih banyak kawasan luar bandar di Sabah," katanya.
Mercury Securities berkata, Life Water meluaskan jangkauannya ke luar Sabah, menyasarkan Sarawak, Labuan dan Brunei sebagai kawasan pertumbuhan utama. Tumpuan awal diberikan kepada Sarawak dengan syarikat itu merancang untuk bekerjasama dengan pengedar tempatan yang mampan di wilayah seperti Limbang dan Lawas.
Pendekatan itu membolehkan syarikat memasuki pasaran ini dengan pelaburan modal yang diminimumkan dengan memanfaatkan infrastruktur sedia ada.
Daripada hasil yang diperoleh daripada penjualan saham baharu, RM19 juta akan digunakan bagi menubuhkan saluran pembuatan air minuman tambahan di Kilang Sandakan Sibuga 1.
LifeWater juga telah memperuntukkan RM12 juta untuk membeli talian pembuatan air minuman untuk Kilang Sandakan Sibuga 2.
Syarikat itu juga memperuntukkan RM12.6 juta untuk menubuhkan pusat pengedaran kedua di Sandakan, RM9.61 juta dalam pembesaran kemudahan pembungkusan plastik sedia ada di Kota Kinabalu dan RM4.21 juta untuk membiayai keperluan modal kerja. Selebihnya akan diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com