KUALA LUMPUR 7 Nov - Rakuten Trade memberikan nilai wajar kepada firma pembinaan yang berpangkalan di Sabah, Azam Jaya Bhd pada RM1.56.
Penilaian dengan penarafan 'beli' tersebut adalah kenaikan 100% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 78 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 November 2024.
Katanya, penilaian itu adalah berdasarkan nisbah P/E sebanyak 15 kali ganda pendapatan sesaham (EPS) FY25.
"Kami mengunjurkan kumpulan itu mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM30.3 juta, RM52 juta dan RM61.1 juta untuk FY24-FY26, dipacu buku pesanan kukuh sebanyak RM1.45 bilion.
"Syarikat itu merupakan pemain industri pembinaan terkemuka yang memberi tumpuan kepada projek infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, jambatan, jejambat, dan terowong, khususnya dalam Sabah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu terlibat secara aktif dalam sembilan projek yang sedang dijalankan, kebanyakannya di Sabah, yang merangkumi beberapa bahagian Lebuhraya Pan Borneo dan menaik taraf jalan utama iaitu Jalan Lintas dan naik taraf Jalan UMS.
Katanya, Azam Jaya menyasarkan untuk memacu pertumbuhan masa depan dengan mengembangkan portfolio projeknya, terutamanya melalui mendapatkan lebih banyak kontrak infrastruktur berskala besar seperti fasa tambahan Lebuhraya Pan Borneo.
"Syarikat itu merancang untuk mempelbagaikan sumber pendapatannya, mengurangkan pergantungan subkontraktor dengan melabur dalam peralatannya sendiri, dan meningkatkan kecekapan untuk kawalan kos dan garis masa projek yang lebih baik," katanya.
Rakuten Trade berkata, peningkatan perkongsian swasta-awam melonjakan lagi peluang untuk kumpulan itu, kerana kerjasama ini membolehkan syarikat swasta menyumbang dana dan kepakaran kepada projek berskala besar.
"Bagi Azam Jaya, dilengkapi dengan portfolio yang kukuh dan keupayaan teknikal, perkongsian swasta-awam menawarkan laluan strategik dalam projek bernilai tinggi dan meluaskan pengaruh pasarannya," katanya.- DagangNews.com