KUALA LUMPUR 18 Dis - Batik Air memperkenalkan laluan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Kota Kinabalu, dengan sambungan terus ke Tawau, menawarkan perjalanan yang lancar di Sabah.
Perkhidmatan baharu itu akan bermula pada 17 Januari 2025 dan dijangka menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin mengelakkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menikmati pengalaman perjalanan yang lebih mudah dari Subang (SZB).
Perkhidmatan tersebut juga akan memberi manfaat kepada penduduk Sabah yang ingin mengembara antara Kota Kinabalu dan Tawau, yang sebelum ini memerlukan kira-kira lapan jam perjalanan darat, namun kini hanya mengambil masa kurang satu jam dengan penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan baharu itu adalah destinasi ketiga syarikat penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan ia membuka lebih banyak peluang perjalanan untuk pelancong dan pengembara perniagaan.
"Dengan pelancaran laluan terus baharu ini, kami bukan sahaja menawarkan alternatif kepada KLIA, tetapi juga memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan ke Malaysia Timur.
"Laluan ini juga memudahkan pengembaraan untuk mereka yang ingin meneroka keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan persekitaran perniagaan yang berkembang pesat di Kota Kinabalu dan Tawau," katanya dalam satu kenyataan.
Pada tahun 2023 sahaja, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Tawau secara keseluruhan mengendalikan lebih 3.5 juta penumpang dan dijangka mencapai empat juta menjelang akhir tahun ini.
Laluan baharu berkenaan diperkenalkan untuk mengurangkan kesesakan di KLIA sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk sambungan terus di dalam rantau ini.
Dengan tujuh penerbangan setiap minggu, laluan SZB-BKI-TWU menawarkan keseimbangan yang sempurna antara kemudahan, keselesaan dan kekerapan, memastikan penduduk Lembah Klang dapat menikmati perjalanan yang lancar ke Kota Kinabalu dan Tawau. - DagangNews.com