Prospek suku keempat 2024 positif didorong peningkatan Indeks Keyakinan Perniagaan - MIER | DagangNews Skip to main content

Prospek suku keempat 2024 positif didorong peningkatan Indeks Keyakinan Perniagaan - MIER

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Nov - Keyakinan perniagaan bagi suku keempat 2024 (4Q24) adalah positif, dengan Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) menghampiri 105 mata pada suku ketiga 2024 (3Q24).

 

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, pendorong utama bagi unjuran tersebut termasuk pengeluaran dan jualan yang stabil, peningkatan tahap pekerjaan, kenaikan kos upah, peningkatan pelaburan dan peningkatan kecekapan dalam penggunaan kapasiti.

 

"Prospek perniagaan untuk tiga bulan akan datang kekal positif, dengan kebanyakan firma optimis berikutan imej Malaysia yang menggalakkan.

 

"Indeks ini menunjukkan trend positif dalam pekerjaan dan jualan, menandakan daya tahan dan potensi pemulihan yang kukuh," katanya dalam laporan tinjauan.

 

MIER menyatakan, terdapat trend yang stabil dalam pengeluaran, dengan sektor pembuatan menunjukkan trend yang konsisten.

 

"Lebih 70 peratus responden melaporkan trend yang stabil dan positif. Tinjauan itu mendedahkan bahawa 20 peratus firma yang terlibat dalam pasaran eksport menunjukkan trend sama.

 

"Firma yang beroperasi dalam pasaran domestik menunjukkan trend peningkatan, dengan 10 peratus firma melaporkan peningkatan dalam pengeluaran mereka," jelasnya.

 

Tambah MIER, lebih 60 peratus firma yang terlibat dalam pasaran domestik dan eksport menunjukkan jumlah pengeluaran yang stabil.

 

Institut itu turut menekankan trend pelaburan yang semakin berkembang, dengan peningkatan tahunan sebanyak 18 mata, mencecah 68 pada 3Q24 berbanding 50 pada 3Q23.

 

Ia menambah, lebih 70 peratus firma yang beroperasi dalam pasaran domestik dan eksport melaporkan paras pelaburan yang stabil untuk syarikat mereka.

 

"Sebanyak 13 peratus firma yang beroperasi dalam pasaran domestik juga melaporkan paras pelaburan yang stabil bagi syarikat mereka.

 

"Peningkatan ini didorong oleh sektor-sektor seperti produk mineral bukan logam dan pembuatan lain, pembaikan & pemasangan mesin dan peralatan," ujarnya. - DagangNews.com