Belanjawan 2025 memperuntukkan sejumlah RM421 bilion, tertinggi berbanding sebelum ini | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025 memperuntukkan sejumlah RM421 bilion, tertinggi berbanding sebelum ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan sejumlah RM421 bilion, nilai tertinggi berbanding belanjawan-belanjawan yang dinyatakan sebelum ini.

 

Bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’, peruntukan bagi Belanjawan 2025 itu juga meningkat berbanding RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 iaitu bajet kedua yang dibentangkan pada Oktober 2023.

 

Perdana Menteri berkata, sejumlah RM335 bilion diperuntukan untuk belanja mengurus manakala RM86 bilion digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

 

"Perbelanjaan itu tidak termasuk RM2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

 

"Selain peruntukan pembangunan oleh kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai RM9 bilion ringgit turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai RM25 bilion. 

 

"Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 berjumlah RM120 bilion ringgit," katanya membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tersebut dirangka untuk mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah mewujudkan negara sebagai kuasa ekonomi di Asia dan mencatatkan pertumbuhan mampan dan berdaya tahan.

 

“Prestasi ekonomi mengatasi jangkaan sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit, menggambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi Madani.

 

“Tahun depan, kita yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5% dan 5.5%, didokong langkah dan strategi Belanjawan 2025,” katanya.- DagangNews.com