SHAH ALAM 14 Okt – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pemain utama di dalam industri beras negara, memeterai Nota Kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (interlaboratory comparisons, ILC) dan ujian kemahiran untuk aktiviti penggredan beras.
Makmal BERNAS yang merupakan makmal pertama diiktiraf di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui ISO17025 bakal mengukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan kualiti beras secara keseluruhan di negara ini, selain daripada memastikan konsistensi, kebolehpercayaan dan pematuhan kepada spesifikasi berdasarkan standard yang ditetapkan.
Ini merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini kerana tiada penyedia program ujian perbandingan antara makmal yang lain bagi skop penggredan beras.
Melalui kerjasama itu, BERNAS akan menyokong KIMIA Malaysia dalam membangunkan kaedah, menyediakan latihan penganalisaan ke atas sampel beras dan membincangkan isu-isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal di samping meningkatkan ujian kemahiran bagi analisis beras.
Nota kerjasama tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman dan Ketua Pengarah KIMIA Malaysia, Marhayani Md Saad, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato' Ts. Dr. Aminuddin Hassim dan Pengerusi BERNAS,
Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
Kerjasama antara BERNAS dan KIMIA Malaysia akan meningkatkan lagi usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Dr. Aminuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama antara BERNAS dan KIMIA Malaysia dalam ILC dan ujian kecekapan yang julung-julung kali diadakan untuk penggredan beras.
"Kami yakin inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan dalam industri padi dan beras negara, sekali gus memberikan kesan yang positif kepada kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka masa Panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar beliau, kerjasama itu bukan sahaja selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi yang didorong oleh sains, teknologi dan inovasi (STI), malah menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan meningkatkan daya saing industri beras Malaysia.
"Kami menantikan hasil positif daripada kerjasama ini dan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak makmal di seluruh negara dalam masa terdekat," tambah beliau.
BERNAS bersedia untuk berkongsi pengalamannya dan sebagai antara pemegang amanah industri padi dan beras negara, syarikat itu komited untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan pemain industri dalam mendukung agenda keterjaminan makanan negara. - DagangNews.com