BlackRock, YTL Hotels berhasrat beli apartmen servis bernilai hampir RM953 juta di Singapura | DagangNews Skip to main content

BlackRock, YTL Hotels berhasrat beli apartmen servis bernilai hampir RM953 juta di Singapura

CapitaSpring. Gambar/Capitaland
Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 9 Okt - Pengurus aset terbesar dunia, BlackRock Inc (BlackRock) dan pemaju Malaysia, YTL Corp menerusi YTL Hotels, dijadual membeli apartmen servis dalam sebuah bangunan pejabat utama di daerah perniagaan di Singapura.

 

Menurut sumber dalam satu kenyataan, BlackRock sedang berusaha untuk membeli Citadines Raffles Place dengan harga hampir RM953 juta, dengan YTL Hotels yang dipengerusikan Tan Sri Francis Yeoh, akan memiliki pegangan minoriti dalam pembangunan yang mempunyai 299 bilik tersebut.

 

Kemudahan itu terletak di CapitaSpring, sebuah bangunan pejabat yang siap dibina pada tahun 2021.

 

Jelas sumber, kedua-dua syarikat berkenaan berhasrat mengubahsuai kediaman berkenaan menyerupai hotel untuk dijadikan lokasi penginapan sekurang-kurangnya satu malam.

 

Tetamu aparmen servis di Singapura itu kini perlu bermalam sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

 

CapitaSpring dimiliki oleh usaha sama yang diketuai oleh cabang pembangunan swasta CapitaLand Group Pte dan CapitaLand Integrated Commercial Trust dengan syarikat Jepun, Mitsubishi Estate Co, memegang 10% pegangan.

 

Transaksi itu menandakan satu lagi pembelian untuk BlackRock dalam kelas aset yang menjadi pilihan mereka di Singapura. - DagangNews.com