BMI turunkan ramalan harga purata tahunan minyak mentah Brent 2025 kepada AS$76 setong | DagangNews Skip to main content

BMI turunkan ramalan harga purata tahunan minyak mentah Brent 2025 kepada AS$76 setong

KUALA LUMPUR 6 Dis - Anak syarikat Fitch Solutions, BMI, mengurangkan ramalan harga purata tahunan minyak mentah Brent untuk 2025 kepada AS$76 setong, berbanding AS$78 setong sebelum ini.

 

BMI berkata, harga minyak dijangka memulakan 2025 pada paras yang sedikit lebih rendah berbanding jangkaan pada Ogos lalu.

 

"Sebelum ini, unjuran harga dibuat berdasarkan ramalan Kamala Harris akan menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

 

"Walaupun kemenangan Donald Trump membawa reaksi pelbagai terhadap harga minyak, kesannya mungkin lebih negatif berbanding sekiranya Harris menjadi Presiden, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam hingga 12 bulan," kata BMI dalam satu nota penyelidikannya. 

 

BMI berkata, harga Brent kekal dalam julat yang agak stabil sepanjang November dan Disember, ditutup antara AS$71.80 setong dan AS$75.5 setong setelah mengalami pergerakan besar pada awal tahun ini.

 

Jelasnya, pasaran juga berada dalam keadaan statik menjelang acara angkat sumpah Trump pada 20 Januari dan mesyuarat OPEC+ semalam.

 

Dalam mesyuarat tersebut, OPEC+ memutuskan untuk terus mengurangkan pengeluaran semasa sehingga Mac 2025 dari Disember 2024.

 

BMI meramalkan, permintaan minyak akan kekal kukuh, dengan pertumbuhan 2025 dijangka setara dengan paras 2024.

 

Namun, ia menambah, terdapat risiko besar ke arah penurunan, termasuk bagaimana Trump melaksanakan tarif apabila beliau mula mentadbir dan kesannya terhadap aktiviti ekonomi, perdagangan, inflasi dan dolar AS.

 

"Kami percaya kesan daripada pelaksanaan tarif itu tidaklah sebesar yang diperkatakan.


"Pelaksanaannya mungkin beransur-ansur untuk menguruskan kesan makroekonomi dan mengurangkan turun naik pasaran," tambahnya.

 

Menurut BMI, China, yang kini berdepan semakin banyak sekatan perdagangan global, akan menjadi sasaran utama.

 

AS serta China sahaja menyumbang kira-kira 37 peratus daripada penggunaan minyak global.

 

"Beberapa pasaran lain juga mungkin terlibat termasuk Mexico, Kanada, Vietnam, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China dan Itali, yang menyumbang 15 peratus lagi.

 

"Sebarang kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi dan aliran perdagangan boleh mengurangkan permintaan sekurang-kurangnya dalam beberapa aspek. Walaupun penggunaan tidak terjejas, pengumuman tarif boleh merosakkan keyakinan pelabur terhadap minyak," jelasnya. - DagangNews.com