Bursa Malaysia catat untung bersih RM241.2 juta pada 9MFY24, naik 25.1% dipacu pendapatan pasaran sekuriti tinggi | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia catat untung bersih RM241.2 juta pada 9MFY24, naik 25.1% dipacu pendapatan pasaran sekuriti tinggi

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt -  Untung bersih Bursa Malaysia Bhd bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) meningkat sebanyak 25.1% kepada RM241.2 juta berbanding RM192.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu dipacu pendapatan yang lebih tinggi merentasi segmen perniagaannya, termasuk pasaran sekuriti dan derivatif.

 

Bursa Malaysia berkata, keuntungan bersih pada tempoh itu didorong oleh  kenaikan 39.1% dalam pendapatan operasi dari Pasaran Sekuriti yang menjana RM411.8 juta. 

 

"Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi menyaksikan peningkatan 30.4% kepada RM273.4 juta pada 9MFY24 daripada RM209.6 juta pada 9MFY23, didorong oleh kos kakitangan yang lebih tinggi, penyelenggaraan IT serta yuran perkhidmatan.

 

"Bagi tempoh itu, Pasaran Sekuriti menyaksikan peningkatan hasil dagangan sebanyak 52.9%, iaitu RM300.3 juta pada 9M2024 berbanding RM196.4 juta pada 9M2023.

 

"Pertumbuhan besar ini didorong oleh purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih tinggi untuk dagangan dalam pasaran (OMT) pasaran sekuriti dan dagangan perniagaan langsung (DBT) pada 9MFY24, yang meningkat kepada RM3.6 bilion daripada RM2.1 bilion pada 9MFY23," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Di samping itu, bahagian pasaran derivatif mencatat hasil dagangan sebanyak RM80.8 juta yang mewakili sebanyak 19.8% kenaikan berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.  

 

Katanya, peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan ketara dalam Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit (FCPO) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, ekonomi Malaysia kekal kukuh disokong oleh aliran pelaburan asing, penghargaan nilai ringgit, defisit fiskal yang rendah, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) dan rancangan pembangunan yang digariskan.

 

"Kami kekal komited dalam mempelbagaikan peluang pengumpulan dana dan perdagangan untuk pemegang kepentingan kami yang dihargai. 

 

"Ini termasuk meluaskan rangkaian produk kami dengan melancarkan semula Single Stock Futures dan memasukkan sijil tenaga boleh diperbaharui ke dalam Bursa Carbon Exchange. 

 

“Sebagai pertukaran pelbagai aset, kami berdedikasi untuk mendemokrasikan akses dan menyediakan lebih banyak peluang untuk semua pihak berkepentingan. 

 

"Pelabur runcit domestik memainkan peranan penting dalam memacu pasaran kami ke hadapan dan kami akan meneruskan jangkauan kami melalui inisiatif seperti Bursa Marketplace Fair dan siri Invest Malaysia,” katanya. - DagangNews.com