KUALA LUMPUR 18 Dis - Cadangan pemansuhan Peraturan 78 oleh Bank Negara Malaysia boleh "membuka jalan" kepada pembaharuan dalam produk pembiayaan lain, termasuk sewa beli, yang akan memberi kesan yang lebih besar kepada sektor perbankan, kata Phillip Capital.
Peraturan 78 yang dikuatkuasakan secara meluas untuk mengenakan caj faedah ke atas produk pembiayaan peribadi, memerlukan peminjam membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman.
Phillip Capital berkata, walaupun ini memberi manfaat kepada bank dalam jangka pendek dengan mengutip lebih banyak faedah terlebih dahulu, ia tidak menggalakkan pembayaran balik pinjaman awal, kerana peminjam akan menjimatkan sedikit faedah jika mereka menjelaskan pinjaman mereka lebih awal.
"Bagaimanapun, dengan potensi pemansuhan peraturan ini, bank boleh menghadapi cabaran baharu.
"Tanpa pendapatan faedah pada awal peminjaman, bank mungkin melihat peningkatan dalam pembayaran balik awal, yang membawa kepada perolehan portfolio yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Katanya, peralihan ini boleh memaksa bank untuk menggunakan semula dana ke dalam aset yang menghasilkan lebih rendah, meningkatkan risiko pelaburan semula.
Bagi mengurangkan ini, bank mungkin akan menaikkan kadar faedah berkesan mereka, yang boleh mengimbangi sebahagian daripada faedah yang hilang.
Phillip Capital berkata, kesan bersih ke atas pendapatan faedah masih boleh kekal positif.
Firma penyelidikan itu juga berkata, peralihan kepada pinjaman pembiayaan peribadi kadar berubah akan membolehkan bank mendapat manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang meningkat.
"Langkah sedemikian akan membolehkan bank memanfaatkan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat, membantu mengekalkan keuntungan walaupun terdapat perubahan dalam struktur pinjaman," katanya.
Dalam kalangan bank, portfolio Alliance Bank Malaysia Bhd memegang pendedahan terbesar kepada produk pembiayaan peribadi pada 11%, diikuti Affin Bank Bhd, CIMB Group Holdings Bhd dan RHB Bank Bhd, masing-masing memegang 6%.
Firma penyelidikan itu berkta, pada peringkat global, Peraturan 78 telah mendapat kecaman kerana ketidakadilan kepada peminjam dan penyingkirannya dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam perlindungan pengguna.
Phillip Capital mengekalkan saranan "overweight" ke atas sektor perbankan Malaysia dan menyukai CIMB ('beli'; harga sasaran (TP): RM9.30).
Sementara itu Phillip Capital terus menyukai Public Bank Bhd ('beli'; TP: RM5.10) dan Hong Leong Bank Bhd ('beli'; TP: RM24.30), RHB ('beli'; TP: RM7.50) dan Malayan Banking Bhd ('beli'; TP: RM11.40) dan AMMB Holdings Bhd ('beli'; TP: RM6.00).- DagangNews.com