KUALA LUMPUR 10 Dis - Bank kedua terbesar di Asia Tenggara, Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) dan bank kelima terbesar, CIMB Group Holdings Bhd, dilaporkan sedang bersaing untuk mendapatkan pegangan pengawalan di Bank Pan Indonesia (Panin Bank).
OCBC yang berpusat di Singapura dan CIMB dari Malaysia telah mengemukakan tawaran tidak mengikat untuk pegangan yang ditawarkan oleh pemberi pinjaman Australia, ANZ yang memiliki pegangan 39.22% di bank tersebut.
"Keluarga Gunawan dari Indonesia, yang mengasaskan Panin Bank pula memiliki 46.52% pegangan," demikian menurut laporan Reuters memetik sumber yang enggan dikenali.
Data London Stock Exchange Group (LSEG) menunjukkan, jumlah pegangan pengawalan mereka bernilai kira-kira RM10.6 bilion berdasarkan harga penutupan pada Isnin iaitu 53 sen sesaham.
Saham Panin Bank meningkat hampir 9% pada Selasa, naik 7.9% kepada 57 sen setiap satu.
Tawaran tidak mengikat untuk pegangan tersebut dijangka diterima pada bulan ini.
Reuters pertama kali melaporkan rancangan untuk menjual pegangan pengawalan pada Oktober lalu.
Sementara itu, satu lagi sumber memberitahu Reuters, Malayan Banking Bhd (Maybank), bank keempat terbesar di Asia Tenggara juga mahu mendapatkan pegangan pengawalan Panin Bank.
Antara yang disebut-sebut turut berminat adalah pemberi pinjaman Jepun, Mitsubishi UFJ Financial Group dan Sumitomo Mitsui Banking Corp.
Semua pihak berkenaan enggan mengulas laporan berkaitan.
Saham Panin Bank telah meningkat 58.3% tahun ke tahun, memberi nilai pasaran keseluruhan sebanyak RM12.57 bilion, menurut data LSEG.
ESG berkata, Panin Bank diniagakan pada nisbah harga-ke-buku sebanyak 0.88 kali, selaras dengan rakan sejawat seperti Bank CIMB Niaga pada 0.88 kali dan Bank Permata pada 0.86 kali, tetapi lebih tinggi berbanding Bank OCBC NISP pada 0.78 kali dan Bank Maybank Indonesia pada 0.56 kali.
ANZ telah berusaha untuk keluar dari Panin Bank sejak 2013, tetapi kebimbangan penilaian telah menghalang usahanya.
Ia pertama kali membeli pegangan 29% dalam pemberi pinjaman yang disenaraikan di Jakarta pada tahun 1999 dan kemudiannya meningkatkan pegangan tersebut.
Panin Bank diasaskan oleh ahli perniagaan Indonesia, Mu'min Ali Gunawan, 85, pada 1971 dan bank tersebut disenaraikan di Bursa Saham Jakarta pada tahun 1982.
Gunawan adalah penerima manfaat utama daripada pemilikan keluarga dalam bank itu, menurut pendedahan bank tersebut.
Keluarga berkenaan dijangka mengekalkan sebahagian daripada pegangan mereka selepas penjualan. - DagangNews.com