CIMB Securities kekal penarafan 'beli' terhadap KPJ Healthcare disokong inisiatif strategik pengurusan baharu | DagangNews Skip to main content

CIMB Securities kekal penarafan 'beli' terhadap KPJ Healthcare disokong inisiatif strategik pengurusan baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - CIMB Securities mengekalkan penarafan 'beli' terhadap KPJ Healthcare Bhd dengan harga sasaran (TP) RM2.60 disokong inisiatif strategik pasukan pengurusan baharu dan pelaksanaan pantas bagi meneruskan fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan penjagaan kesihatan itu.

 

Katanya, strategi jangka panjang KPJ Healthcare bertujuan meningkatkan tahap penjagaan, menyasarkan aliran pesakit daripada kumpulan M40 dan T20, seterusnya menyokong prospek positifnya.

 

Hospital terbaharu kumpulan yang dibuka pada September 2022, Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), mempunyai ruang lantai yang lebih besar berbanding hospital lain.

 

Hospital itu juga mempunyai lima pusat kecemerlangan termasuk pusat jantung dan paru-paru, pusat tulang, sendi dan tulang belakang, pusat sains saraf dan strok, pusat pembedahan lanjutan serta satu-satunya pusat pencegahan kelahiran pra matang di Malaysia.

 

“Pusat jantung dan paru-paru DSH2 berada di barisan hadapan dalam kepakaran Malaysia dalam melakukan pembedahan jantung invasif minimum (MICS) menggunakan teknik endoskopik. Ia juga hospital swasta pertama yang menjalankan MICS untuk kes jantung dan paru-paru di Malaysia,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, DSH2 dilengkapi dengan pasukan strok yang lengkap dan komited untuk melabur dalam teknologi perubatan canggih.

 

Khususnya, ia merupakan hospital pertama dalam kumpulan KPJ yang memperkenalkan sistem pembedahan robotik da Vinci Xi dan juga hospital pertama di kawasan tengah KPJ yang menawarkan penggantian lutut total secara robotik kepada pesakit.

 

"Ia juga hospital pertama di Malaysia yang dimasukkan dalam Rangkaian Penjagaan Klinik Mayo, memberikannya akses kepada pengetahuan perubatan terkini Klinik Mayo dan penjagaan khusus untuk keadaan yang jarang berlaku atau kompleks,” katanya.

 

KPJ Healthcare menjelaskan, 70% hingga 80% bilik DSH2 adalah bilik persendirian berharga antara RM250 dan RM1,500.

 

“Pendapatan bulanan meningkat dengan ketara kepada RM10 juta pada suku kedua tahun ini, berbanding julat RM3 juta hingga RM4 juta pada suku kedua 2023, didorong terutamanya oleh volum pesakit yang lebih tinggi apabila permintaan meningkat dan kadar penghunian katil (BOR) yang lebih kukuh sebanyak lebih daripada 70% direkodkan,” kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Hospital itu juga berjaya mencatatkan keputusan pulang modal pada suku pertama 2024.

 

"Kami percaya ia berada di landasan tepat untuk mengurangkan margin kerugian sebelum cukainya pada tahun kewangan 2024, didorong oleh BOR yang kukuh dan usaha berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan klinikal, yang sepatutnya meningkatkan intensiti hasil serta leverage operasi yang lebih tinggi daripada rancangan pengembangan katilnya," katanya. - DagangNews.com