Citi lantik bekas Pengarah Eksekutif JP Morgan Chase & Co sebagai Ketua Pasaran di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Citi lantik bekas Pengarah Eksekutif JP Morgan Chase & Co sebagai Ketua Pasaran di Malaysia

Ng Hooi Wan
Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 14 Okt - Citi melantik bekas Pengarah Eksekutif JP Morgan Chase & Co., Ng Hooi Wan sebagai Ketua Pasaran untuk Malaysia, berkuat kuasa Disember 2024.

 

 

Dalam satu kenyataan, Citi menyatakan, Hooi Wan mengetuai pasaran tempatan dan jualan bahagian swasta di JP Morgan sejak menyertai syarikat tersebut di Malaysia pada akhir 2011.

 

Citi menambah, beliau akan melapor kepada Ketua Pasaran bagi Kluster Asia Selatan, Sue Lee, dan Pegawai Negara Citi serta Ketua Perbankan untuk Malaysia, Vikram Singh.

 

Hooi Wan mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam perbankan dan perkhidmatan kewangan di Malaysia. 

 

Beliau memulakan kerjaya dalam pasukan perbankan korporat di Bank of Tokyo-Mitsubishi, sebelum berkhidmat di Southern Bank Berhad.

 

Beliau kemudian menyertai Standard Chartered Bank pada tahun 2006 di mana beliau bertanggungjawab untuk jualan korporat tempatan dalam pasaran global dan transaksi dalam pasaran modal hutang.

 

Vikram menyatakan, Malaysia adalah pasaran penting bagi Citi di peringkat global, di mana syarikat melihat pertumbuhan yang kukuh dalam perniagaan yang saling berkaitan.

 

"Malaysia berada di barisan hadapan pelaburan asing dan domestik, ketika negara ini terus mendapat manfaat daripada perubahan rantaian bekalan. Saya yakin di bawah kepimpinan Hooi Wan, momentum pertumbuhan Citi akan berterusan," katanya.

 

Sementara itu, Lee berkata, Citi mempunyai francais pasaran yang terkemuka di Malaysia dan Asia, dan dengan pengalaman luas Hooi Wan dalam pasaran tempatan, syarikat berada dalam kedudukan baik untuk mengembangkan francais Malaysia dengan lebih luas.

 

"Beliau akan memimpin perniagaan pasaran di Malaysia dengan pendekatan yang berpusatkan pelanggan, memanfaatkan jejak global dan kemampuan penyusunan penyelesaian kami," katanya.

 

Citi yang memberi khidmat kepada syarikat, pelabur institusi dan kerajaan, beroperasi di hampir 80 negara. - DagangNews.com