Cropmate melonjak 22.5% kepada 24.5 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Cropmate melonjak 22.5% kepada 24.5 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Pengeluar baja, Cropmate Bhd membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan premium 22.5% berbanding harga tawaran awam pemulaan (IPO).

 

Saham syarikat yang mempunyai pengkhususan dalam pengadunan baja konvensional itu dibuka 4.5 sen lebih tinggi daripada harga tawarannya pada 24.5 sen sesaham.

 

Kumpulan itu terlibat dalam rumusan dan pengadunan baja konvensional dan khusus, serta perdagangan baja yang berpangkalan di Selangor.

 

Syarikat itu pada masa ini mempunyai empat barisan pengeluaran pemadat campuran, dengan kapasiti tahunan sehingga 214,000 tan baja.

 

IPO Cropmate berjaya mengumpul sejumlah RM42 juta, dengan RM17.1 juta diperuntukkan untuk menyokong objektif perniagaannya manakala RM16.7 juta digunakan untuk membiayai pemerolehan aset strategik, termasuk Lot Kilang 8949 dan 8950.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.2 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal termasuk menaik taraf proses penimbangan automatik, penubuhan makmal penyelidikan, pembangunan dan ujian serta pembelian peralatan dan kenderaan, dan RM5 juta disediakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Cropmate, Lau Yoon Kwai berkata, pencapaian itu merupakan bukti kerja keras dan dedikasi kumpulan itu serta keyakinan yang diberikan pelabur serta pihak berkepentingan.

 

“Dana yang diperoleh melalui IPO membolehkan kami memperoleh aset pengeluaran utama, membiayai perbelanjaan modal dan menyediakan modal kerja tambahan, ini akan meningkatkan keupayaan bagi berkhidmat kepada sektor pertanian Malaysia. 

 

"Sebagai syarikat pengeluar baja pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, kami komited untuk menyumbang kepada amalan perladangan yang mampan, menyokong matlamat keselamatan makanan negara, dan menyampaikan nilai jangka panjang untuk semua pemegang kepentingan kami," katanya.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan pemilik buku.- DagangNews.com