Sistem pertahanan keselamatan siber diketengahkan pada CyberDSA 2025 di MITEC pada 30 Sept 2025 | DagangNews Skip to main content

Sistem pertahanan keselamatan siber diketengahkan pada CyberDSA 2025 di MITEC pada 30 Sept 2025

CyberDSA merupakan pameran khusus mengenai pengetahuan digital terkini dan perisikan siber.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pameran keselamatan siber, CyberDSA 2025 bakal berlangsung pada tahun depan iaitu bermula 30 September hingga 2 Oktober 2025. 

 

CyberDSA mengetengahkan trend terkini dan akan datang dalam pertahanan dan keselamatan siber.

 

Acara ini  penting kerana mengumpulkan para pemain dan tokoh terkemuka industri keselamatan siber dari dalam dan luar negara membincangkan inisiatif terbaik untuk menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

 

Tidak terkecuali Malaysia yang berdepan ancaman serangan siber membabitkan organisasi yang berurusan dengan data peribadi dalam industri kewangan dan telekomunikasi.

 

Malaysia juga menerima lebih 3,000 ancaman serangan siber setiap hari yang berusaha membolosi sistem keselamatan negara.

 

Menerusi kenyataan penganjur pameran, Aerosea Exhibitions Sdn. Bhd., acara CyberDSA 2025 akan diadakan di lokasi baharu iaitu Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). 

 

“Dengan penetapan lokasi baharu pameran, CyberDSA 2025 akan menjadi platform utama untuk kerjasama, perhubungan jaringan perniagaan, dan perkongsian pengetahuan,” ujar kenyataan tersebut.

 

Edisi sebelumnya, CyberDSA 2024 dianjurkan pada Ogos lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

 

Pameran
Lebih 7,000 profesional perdagangan hadir pada CyberDSA 2024 lalu.

 

Pameran

 

Acara ini dianjurkan dengan penglibatan Kementerian Digital serta kerjasama Kementerian Pertahanan dan CyberSecurity Malaysia.

 

Berbeza dengan penganjuran seperti LIMA dan DSA, CyberDSA lebih khusus mengenai teknologi terkini, pengetahuan dan pandangan tentang perisikan siber.

 

Selain itu, ia juga membuka ruang kerjasama dalam membentuk satu komuniti siber ASEAN. 

 

Pihak industri yang hadir pada pameran ini pula mempamerkan pelbagai teknologi terkini dalam bidang keselamatan digital dan siber khususnya yang berkaitan dengan pasukan keselamatan.

 

Penganjuran CyberDSA seiring dengan perkembangan teknologi yang berkembang maju dan menimbulkan pelbagai cabaran baharu dalam melindungi kepentingan organisasi dan negara.

 

Ini termasuklah perkongsian daripada pihak pengawal selia, pembuat dasar, tentera, pegawai kerajaan, pengguna dan penyelidik dari seluruh dunia.

 

Walaupun pendigitalan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian serta pemacu ekonomi utama Malaysia, namun dilaporkan pada tahun lepas negara mengalami kerugian RM600 juta akibat jenayah siber. 

 

Pada CyberDSA 2024, ia menyaksikan kehadiran lebih 7,000 profesional perdagangan dari 45 negara.

 

Pameran
Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan Aris (tengah) mendengar penerangan pempamer pada CyberDSA 2024.

 

Antaranya Bahrain, China, India, Korea, Malaysia, Rusia, Singapura, Thailand , Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

 

Ia menampilkan 120 pelbagai pempamer dari 20 negara termasuk gergasi industri seperti Mastercard, Anlab, Commerce Access, Blackberry, Blancco, CTM360 dan Gigamon.

 

CyberDSA 2024 juga merangkumi satu siri forum dan persidangan bertujuan untuk rangkaian, menangani isu kritikal dan trend baru dalam keselamatan siber.

 

Ia menampilkan lebih 80 pembentang forum dari 15 negara.

 

Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM juga mengadakan persidangan ASEAN Cyber Defence yang memberikan peluang kepada para pemimpin siber negara ASEAN untuk bertukar pendapat dalam memastikan agenda keselamatan siber. - DagangNews.com