Cypark, Terengganu Inc bina loji solar terapung hibrid hidro di Tasik Kenyir | DagangNews Skip to main content

Cypark, Terengganu Inc bina loji solar terapung hibrid hidro di Tasik Kenyir

Gambar/ Cypark

KUALA LUMPUR 6 Dis - Penyedia utama rumusan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, Cypark Resources Bhd (Cypark) dan anak syarikat pelaburan strategik kerajaan negeri, Terengganu Inc Sdn Bhd (Terengganu Inc) memeterai perjanjian untuk membangunkan loji solar terapung hibrid hidro (HHFS) berkapasiti 500 megawatt (MW) di Tasik Kenyir, Terengganu.

 

Kerja-kerja mereka bentuk, membina dan mengendalikan loji tersebut akan dilakukan oleh TNB Power Generation Sdn Bhd.

 

Pengerusi Eksekutif Cypark, Datuk Hamidah Moris berkata, projek itu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG7 untuk tenaga bersih dan mampu milik, serta SDG12 untuk penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab.

 

 

"Dengan menggabungkan pengalaman tenaga boleh diperbaharui Cypark dan visi strategik Terengganu Inc, kami mencipta satu pelan yang kuat untuk kemajuan lestari. 

 

"Tasik Kenyir yang kaya dengan ekosistem unik, menyediakan persekitaran yang ideal untuk inisiatif ini," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian itu, di sini hari ini seperti laporan Bernama.

 

Hamidah berkata, penggunaan teknologi HHFS bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan tenaga, tetapi juga menetapkan piawaian baharu rumusan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

 

Tambahnya, penghasilan tenaga hidro yang digabungkan dengan luas permukaan air Tasik Kenyir pada 370 kilometer persegi, mempunyai potensi besar untuk penjanaan dan penyimpanan tenaga, yang akan menyokong sistem grid elektrik Malaysia.

 

Jelas beliau, projek itu juga akan membuka peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang yang memerlukan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi.

 

Projek bersejarah berkenaan dijadualkan bermula pada tahun 2025, menggunakan teknologi hibrid hidro dan solar terapung fotovoltaik, menandakan satu pencapaian penting dalam peralihan Malaysia ke tenaga boleh diperbaharui.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, menekankan kepentingan inisiatif tersebut, yang akan memperkukuh komitmen Terengganu dalam memanfaatkan sumber alam secara bertanggungjawab sambil memacu pertumbuhan inklusif dan lestari untuk negeri dan negara.

 

"Projek HHFS 500MW ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan memanfaatkan keluasan Tasik Kenyir untuk penjanaan tenaga bersih.

 

"Ia akan menjadi tapak tunggal terbesar di Malaysia yang menggabungkan penghasilan tenaga solar, penyimpanan bateri, serta membuka potensi kegunaan tasik, sungai dan laut Malaysia yang luas," katanya. - DagangNews.com