Damansara REIT Managers lantik Zulhilmy Kamaruddin sebagai CEO baharu berkuat kuasa 21 November 2024 | DagangNews Skip to main content

Damansara REIT Managers lantik Zulhilmy Kamaruddin sebagai CEO baharu berkuat kuasa 21 November 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pengurus Al-'Aqar Healthcare REIT dan Al-Salam REIT, Damansara REIT Managers Sdn Bhd melantik Zulhilmy Kamaruddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa 21 November 2024.

 

Beliau menggantikan Raja Nazirin Shah Raja Mohamad, yang tamat kontrak perkhidmatannya.

 

Zulhilmy berbesar hati menggalas tanggungjawab itu dan berkata beliau akan memberi keutamaan dalam mengoptimumkan portfolio, mempelbagaikan aset dan memajukan inisiatif ESG (alam sekitar, sosial, dan tadbir urus) bagi memberikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.

 

Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman luas dalam kewangan korporat, pasaran modal Islam dan pengurusan dana, menurut kenyataan Damansara REIT hari ini.

 

Beliau turut memainkan peranan penting dalam sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) di Malaysia, termasuk dalam penyenaraian Sentral REIT dan PNB REIT.

 

Selain itu, Zulhilmy juga berkhidmat sebagai penasihat teknikal untuk Aman REIT, amanah patuh syariah pertama Oman, yang berjaya disenaraikan di Pasaran Sekuriti Muscat.

 

Beliau pernah berkhidmat di RHB Banking Group, Maybank Investment Bank Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam peranan kanan, dengan pengalaman dalam perbankan pelaburan dan penyelidikan.

 

Al-'Aqar Healthcare REIT adalah REIT penjagaan kesihatan Islam pertama di Malaysia dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2006.

 

REIT itu terdiri daripada 23 hartanah bernilai RM1.64 bilion, termasuk 17 hospital, tiga pusat kesejahteraan, dua kolej di Malaysia dan sebuah pusat penjagaan warga emas serta perkampungan persaraan di Australia.

 

Al-Salam REIT adalah dana patuh syariah dengan portfolio yang pelbagai di Malaysia.

 

Disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2015, Al-Salam REIT telah mencapai pertumbuhan yang signifikan.

 

Portfolio itu merangkumi 54 hartanah termasuk empat kedai runcit, sebuah bangunan pejabat, 48 aset makanan dan minuman serta sebuah kolej. - DagangNews.com