KUALA LUMPUR 29 Okt - Datasonic Group Bhd menerusi Datasonic Technologies Sdn Bhd menerima kontrak RM21.5 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyediakan perkhidmatan membekal dan mencetak lesen memandu kategori khas.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu adalah selama 36 bulan bermula 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2027.
"Menerusi kontrak itu, kumpulan itu perlu menyediakan bon pelaksanaan sebanyak RM358,722kepada JPJ dengan tempoh sah sehingga 12 bulan dari tarikh tamat kontrak atau tarikh obligasi akhir atau yang mana terkemudian.
"Kumpulan itu jua perlu melaksanakan program Latihan Profesional dan Pendidikan untuk Usahawan Berkembang (PROTEGE) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan nilai kontrak dengan bilangan peserta minimum sembilan orang, tanpa sebarang kos," katanya.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan asset bersih sesaham Datasonic untuk tahun tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan tahun kewangan sepanjang tempoh kontrak.
Kontrak adalah tertakluk kepada risiko perniagaan biasa yang termasuk keadaan ekonomi keseluruhan, krisis pandemik, perubahan dalam peraturan kerajaan dan risiko operasi seperti peningkatan kos akibat sebarang peningkatan kos material dan terma kontrak.
Syarikat akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi yang sesuai untuk mengurangkan kesan atau kemungkinan kejadian sedemikian.- DagangNews.com