Dayang Enterprise di kedudukan terbaik peroleh kontrak daripada Petronas, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise di kedudukan terbaik peroleh kontrak daripada Petronas, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Dayang Enterprise Holdings Bhd berada dalam kedudukan yang baik untuk memperoleh kontrak penutupan struktur medan minyak di Sarawak daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada tahun depan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, berdasarkan semakan, kontrak penutupan struktur medan minyak dan gas di Sarawak adalah kira-kira RM1.4 bilion, manakala kedua-dua Sabah dan Semenanjung Malaysia berjumlah RM1 bilion secara keseluruhan.

 

Katanya, tiga pakej penyahtauliahan utama setiap satu untuk Sabah, Sarawak dan semenanjung daripada Petronas akan menjadi rebutan.

 

“Kami melihat kumpulan itu sebagai pendahulu untuk merangkul pakej Sarawak. 

 

"Kontrak rasmi dijadualkan berlangsung pada separuh kedua 2025 dan kerja-kerja akan bermula dari 2026 hingga 2028.

 

“Kami percaya, margin projek bagi kerja-kerja penyahtauliahan ini secara amnya lebih tinggi daripada pakej penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian (MCM) Pan Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, dilaporkan bahawa Dayang bersedia untuk mendapatkan tiga pakej tender penghubung dan pentauliahan (HUC) Pan Malaysia MCM pelbagai tahun.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, mereka tidak dapat mengesahkan jumlah atau pakej khusus yang dijadual diperoleh syarikat kerana surat rasmi anugerah (LoA) masih belum diberikan.

 

LoA dijangka akan diberikan pada akhir bulan ini atau awal November 2024.

 

Kadar yang dikemukakan akan kekal sehingga akhir tempoh firma pada 2029 dan tertakluk kepada rundingan lanjut memasuki tempoh opsyen.

 

Nilai setiap pakej adalah antara RM300 juta hingga RM2 bilion, berjumlah RM8 bilion hingga RM10 bilion untuk kesemua 18 pakej.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.22, bagaimanapun tidak meramalkan sebarnag kesan ketara ke atas pendapatannya kerana pakej MCM-HUC bersifat pengisian semula kontrak. - DagangNews.com