KUALA LUMPUR 6 Dis - Destini Bhd memperoleh penyedia perkhidmatan pembaikan komponen rel Australia, Trovon Group Pty Ltd (Trovon), sebagai usaha memperkukuh keupayaan penyelenggaraan rel dan mengembangkan kehadirannya di peringkat global.
Destini akan membayar RM285 bagi pemerolehan tersebut, dan mengambil alih hutang tertunggak Trovon sebanyak RM9.24 juta serta menyuntik RM2.84 juta tambahan untuk modal kerja.
Pemerolehan tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikat penuh miliknya, TF Corp Pte Ltd, dengan jangkaan selesai menjelang akhir 2024.
Trovon, yang ditubuhkan pada 2015 sebagai Sabre Rail Australia, menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk sistem rel utama, laju tinggi, kargo, metro, dan rel ringan, dengan fokus kepada brek, pemanasan, pengudaraan dan pendinginan (HVAC), serta pintu tren.
Buku pesanan Trovon kini berjumlah RM123.30 juta, dengan RM90.87 juta masih tertunggak merangkumi kontrak di Australia, New Zealand dan Malaysia.
Destini berkata, ia melihat peluang pengembangan ke Singapura, Dubai dan China melalui rangkaian kumpulan Techno Fibre yang sedia ada.
Perniagaan teras Destini tertumpu kepada perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan pembaharuan (MRO) untuk pesawat tentera, pembekalan peralatan kepada angkatan tentera, pembuatan dan penyelenggaraan bot penyelamat, peralatan keselamatan marin, serta menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan untuk sistem tenaga boleh diperbaharui.
Syarikat berkenaan juga menyediakan perkhidmatan MRO untuk sektor rel dan perkhidmatan penggerudian tiub untuk industri tenaga.
Walaupun Trovon mencatatkan kerugian RM13.68 juta dalam tahun kewangan 2023, Destini berkata ia menghargai keupayaan teknikal firma tersebut, pensijilan dan kehadiran globalnya yang kukuh.
Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa berkata, pemerolehan itu mewakili peluang perubahan bagi Destini untuk memperkukuh keupayaan penyelenggaraan rel dan mengembangkan kehadiran globalnya.
“Rekod prestasi Trovon yang mantap di Australia dan New Zealand, ditambah dengan pensijilan pengeluar peralatan asal (OEM) dan penyelesaian penyelenggaraan berkuasa AI mereka, sangat selaras dengan visi strategik kami untuk pertumbuhan dalam sektor rel,” katanya dalam pemfailan di bursa semalam.
Harga saham Destini ditutup tidak berubah pada 32 sen pada Khamis, menilai syarikat tersebut pada RM159.74 juta. - DagangNews.com