DHL Express naikkan harga caj mulai 1 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

DHL Express naikkan harga caj mulai 1 Januari 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - Penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa, DHL Express hari ini mengumumkan kenaikan harga purata sebanyak 6.9% berkuat kuasa 1 Januari 2025.

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata syarikat itu kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan yang boleh dipercayai di peringkat global, walaupun menghadapi cabaran geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan.

 

"Dengan pelarasan harga tahunan ini, kami akan meneruskan pelaburan dalam rangkaian kami bagi meningkatkan daya tahan dan kebolehsuaian harga tersebut. 

 

“Selain itu, kami juga akan memastikan sokongan konsisten untuk perniagaan pelanggan kami tanpa mengira keadaan luaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

DHL Express berkata, harganya disemak setiap tahun dengan mengambil kira inflasi, turun naik mata wang dan kos pentadbiran yang berkaitan dengan langkah pengawalseliaan dan keselamatan.

 

Syarikat itu turut berkata, pihak berkuasa kebangsaan dan antarabangsa sentiasa mengemas kini langkah-langkah di lebih 220 negara dan wilayah yang dilayaninya bagi menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggannya.- DagangNews.com