Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.6% pada 2025 disokong penggunaan domestik kukuh - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.6% pada 2025 disokong penggunaan domestik kukuh - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Ekonomi Malaysia diunjur berkembang sihat 4.6% pada 2025, disokong penggunaan domestik kukuh selain perdagangan luar yang berdaya tahan, kata MIDF Research.

 

Katanya, asas domestik yang teguh, termasuk peningkatan perbelanjaan pengguna, kenaikan gaji dan sektor pelancongan yang berkembang pesat, ditambah dengan inisiatif kerajaan seperti kenaikan gaji kakitangan awam dan program bantuan tunai, bersedia untuk memacu pengembangan ekonomi tahun depan.

 

"Asas pertumbuhan domestik kekal kukuh, disokong perbelanjaan yang semakin meningkat oleh kedua-dua pengguna dan perniagaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Ekonomi global diramal berkembang sebanyak 3.2% pada 2025, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sepadan dengan kadar pertumbuhan tahun ini tetapi kekal di bawah paras pra pandemik.

 

Sementara itu, pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan tahap ketidakpastian kepada pasaran global tetapi MIDF Research menjangkakan ketidaktentuan itu akan berkurangan pada 2025, menyumbang kepada iklim ekonomi yang lebih stabil.

 

"Walaupun 2024 mencatatkan turun naik yang luar biasa, ekonomi global dijangka stabil pada 2025, dengan ketidakpastian yang berkurangan sekitar pilihan raya presiden AS," katanya.

 

Dari segi mata wang, firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit mengukuh, dengan purata RM4.23 berbanding dolar AS pada 2025, peningkatan daripada anggaran RM4.56 tahun ini.

 

MIDF Research juga menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) kekal 3% pada 2025, mengekalkan pendirian akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

 

Katanya, secara keseluruhannya, walaupun cabaran seperti ketegangan geopolitik dan peraturan perdagangan yang lebih ketat berterusan, asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan dasar proaktif dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya.

 

"Ketika kami melangkah ke 2025, kami menjangkakan satu tahun pertumbuhan didorong oleh faktor domestik utama dan pemulihan global," katanya.- DagangNews.com