KUALA LUMPUR 18 Nov - Public Investment Bank (PublicInvest) meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat dipacu aktiviti pelaburan kukuh dan perbelanjaan isi rumah mampan, didorong oleh prestasi eksport lebih baik.
Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti pelaburan berkemungkinan mendapat momentum daripada pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang dimajukan dalam sektor swasta dan awam.
Katanya, inisiatif pemangkin di bawah rancangan pembangunan negara serta peningkatan pelaburan direalisasi yang diluluskan juga memainkan peranan dalam pertumbuhan aktiviti pelaburan.
PublicInvest berkata, faktor berkenaan memberi sokongan tambahan kepada prestasi ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat.
"Penggunaan swasta dijangka kekal kukuh didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang berterusan dan pelaksanaan langkah dasar yang dipertingkatkan, seterusnya akan mengukuhkan permintaan domestik," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Di peringkat luar negara, PublicInvest Research berkata, eksport dijangka mendapat manfaat daripada limpahan positif daripada pemulihan teknologi global, manakala sektor pelancongan akan terus menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong dan perbelanjaan yang tinggi.
"Namun begitu, prospek pertumbuhan kekal terdedah kepada risiko penurunan. Permintaan luar yang lebih lemah daripada rakan dagangan utama, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, dasar perlindungan dan pengeluaran komoditi yang lembap boleh menjejaskan momentum ekonomi Malaysia.
Namun demikian, terdapat risiko kenaikan yang ketara, termasuk limpahan yang lebih kukuh daripada pemulihan teknologi global, pemulihan aktiviti pelancongan yang lebih ketara dan pelaksanaan lebih pantas bagi projek pelaburan baharu dan yang sedang berjalan," katanya.
Ekonomi Malaysia terus berkembang kukuh sebanyak 5.3% pada suku ketiga 2024 didorong oleh perbelanjaan swasta yang kukuh dan pemulihan berterusan eksport, sejajar dengan unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% bagi tiga suku pertama 2024.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) berkata, pengembangan ekonomi negara dijangka kekal sederhana untuk baki suku tahun ini akibat permintaan yang semakin lemah di peringkat luar dan ketidaktentuan dasar global.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2024 pada 5% tahun ke tahun.
"Pada 2025, kami menjangkakan pertumbuhan akan kekal pada 5%, didorong oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelancongan kukuh, dibantu oleh langkah kenaikan gaji penjawat awam, peningkatan gaji minimum dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Peningkatan berterusan dalam aktiviti eksport juga dijangka menyokong pertumbuhan. Selain itu, kemajuan lebih lanjut dalam projek infrastruktur dan komitmen pelaburan yang sihat akan menyokong pertumbuhan pelaburan," katanya.
"Perbelanjaan isi rumah akan kekal sebagai faktor utama, didorong oleh pengembangan dalam pekerjaan dan pendapatan," katanya.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.8% hingga 5.3% pada 2024 dan jajaran 4.5% hingga 5.5% pada 2025, dipacu oleh permintaan domestik. - DagangNews.com