F&N catat untung bersih RM544.3 juta pada FY24, pendapatan suku keempat susut 38.21% kesan kos operasi permulaan AgriValley | DagangNews Skip to main content

F&N catat untung bersih RM544.3 juta pada FY24, pendapatan suku keempat susut 38.21% kesan kos operasi permulaan AgriValley

Pengeluaran minuman ringan dan air minuman berkarbonat milik F&N di Shah Alam
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Fraser & Neave Bhd (F&N) mencatatkan keuntungan bersih pada FY24 sebanyak RM544.3 juta walaupun pendapatan kumpulan merosot 38.21% pada 4QFY24 akibat kos pembelanjaan permulaan operasi AgriValley dan kos penstrukturan semula kumpulan. 

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan itu pula meningkat daripada RM5 juta kepada RM5.25 juta pada FY24.

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe memaklumkan untung bersih kumpulan lepas cukai (PAT) naik 0.4%, bersamaan RM2 juta kepada RM544 juta pada FY24 juta berbanding RM542 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

 

“Walaupun kumpulan mengalami sedikit kerugian pada suku keempat (4QFY24) tetapi, kami sedang membangunkan jenama kumpulan dalam sektor agrikultur serta sektor makanan dan minuman (F&B). 

 

“Kami menumpukan F&N AgriValley, pembangunan kilang pembuatan tenusu di Kemboja dan pengeluaran minuman ringan dan air minuman berkarbonat baharu di Butterworth, Pulau Pinang. 

 

“Penangguhan perbelanjaan modal (capex) bagi FY24 mencecah sebanyak RM1.4 bilion di mana kami melabur sebanyak RM180 juta dalam pembangunan kilang pembuatan tenusu di Kemboja yang bakal siap pada 2026.

 

“Selain itu, kumpulan juga melabur sebanyak RM48.5 juta bagi membangunkan pengeluaran minuman ringan dan air minuman berkarbonat di Butterworth yang dijangka mula beroperasi pada 2026,” kata Yew Hoe semasa membentangkan laporan kewangan tahunan kumpulan di Shah Alam, hari ini.

 

Beliau juga menjelaskan perkembangan AgriValley, ladang tenusu bersepadunya di Gemas yang sedang membangun sejajar pada jadualnya walaupun terdapat kekangan untuk melancarkan operasinya akibat import lembu tenusu F&N dari Amerika Syarikat.

 

“Berkaitan dengan AgriValley, sekatan utama kumpulan adalah penggantungan import lembu tenusu dari Amerika Syarikat ke Malaysia tenusu oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) disebabkan kebimbangan mengenai wabak HPAI H5N1 (selesema burung).

 

“Susulan penyekatan ini, operasi Agrivalley akan ditangguhkan kerana kumpulan tidak dapat memulakan operasi pemerah susu pada 2025.

 

“Di samping itu, lembu betina AS yang kami beli akan dijual semula ke pasaran domestik negara itu dan kami akan mencari sumber alternatif bagi menangani isu ini,” katanya.

 

Sementara itu, beliau menegaskan keyakinannya terhadap kekuatan kewangan kumpulan, kedudukan aliran tunainya yang kukuh dan rancangan strategik untuk masa hadapan. 

 

“Pelaburan yang berterusan adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan, melengkapkan operasi perniagaan sedia ada dan meletakkan kumpulan untuk kejayaan akan datang,” katanya.- DagangNews.com