GoCar dan Yinson GreenTech drivEV luaskan kerjasama tawar perkongsian kereta elektrik di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

GoCar dan Yinson GreenTech drivEV luaskan kerjasama tawar perkongsian kereta elektrik di Johor Bahru

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Dis - GoCar Malaysia dan drivEV daripada Yinson GreenTech memperkenalkan program perkongsian kereta elektrik (EV) di Johor Bahru, sebagai sebahagian daripada komitmen bersama terhadap sistem pengangkutan hijau.

 

Sehubungan itu, model Aion Y Plus baharu dan Ora Good Cat kini boleh ditempah di lokasi-lokasi utama di Johor Bahru.

 

Inisiatif tersebut bertujuan menawarkan pilihan pengangkutan sifar karbon kepada penduduk Johor Bahru dan pelancong dari Singapura, sekali gus menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan perjalanan yang lebih mampan di wilayah selatan Malaysia.

 

Untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, GoCar bekerjasama dengan Handal Indah Sdn. Bhd. (HISB), anak syarikat HI Mobility Berhad, untuk menawarkan sambungan mudah bagi pengguna bas elektrik rentas sempadan di Tambak Johor. 

 

ev

 

Pelancong dari Singapura kini boleh meneruskan perjalanan mereka dengan mudah di Johor Bahru menggunakan EV yang boleh didapati di pusat membeli-belah Toppen dan lokasi-lokasi strategik lain berhampiran tempat-tempat berhenti utama bas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, kejayaan perkongsian kenderaan EV syarikat di Lembah Klang membuktikan bahawa pengangkutan bebas karbon bukan sekadar visi, malah ia merupakan satu rumusan yang praktikal dan boleh dikembangkan dalam sektor pengangkutan bandar moden. 

 

"Dengan mengembangkan inisiatif ini ke Johor Bahru hasil kerjasama dengan drivEV, kami telah mengambil satu lagi langkah penting dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon dan menggalakkan perjalanan yang lebih mampan.

 

"Pelancaran ini bukan sahaja membantu warga Johor Bahru, malah menawarkan pelancong Singapura satu akses yang lebih mesra alam untuk meneroka bandar raya ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan drivEV, Kelvin Soon pula menyifatkan, kerjasama dengan GoCar Malaysia membuktikan komitmennya untuk menjadikan pengangkutan mampan lebih mudah diakses dan praktikal. 

 

"Dengan menawarkan kereta-kereta elektrik di lokasi-lokasi utama di Johor Bahru, kami telah mencipta rumusan perjalanan yang lancar serta mesra alam untuk penduduk tempatan dan pelancong. 

 

EV

 

"Kami berazam untuk menggalakkan orang ramai menggunakan alternatif yang lebih bertanggungjawab, pada masa sama menawarkan pilihan pengangkutan yang mudah dan lestari," ujarnya.

 

drivEV ialah rakan pajakan dan penyedia rumusan mobiliti yang fokus kepada EV dan ia komited untuk mempromosikan pengangkutan hijau serta menjadikan EV lebih mudah diakses oleh para pengguna. 

 

drivEV merupakan satu perniagaan di bawah Yinson GreenTech, sayap teknologi hijau Yinson Holdings Berhad, sebuah syarikat infrastruktur tenaga global. - DagangNews.com