Gotion, ITRAMAS dan UEM Sunrise bangunkan pusat R&D tenaga boleh diperbaharui di Gerbang Nusajaya | DagangNews Skip to main content

Gotion, ITRAMAS dan UEM Sunrise bangunkan pusat R&D tenaga boleh diperbaharui di Gerbang Nusajaya

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Dis - Peneraju global dalam rumusan penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan teknologi bateri kuasa, Gotion High-Tech (Gotion), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ITRAMAS Corporation (ITRAMAS) dan UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) untuk membangunkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih di dalam kluster Tenaga Baharu (RE) di Taman Perindustrian yang dirancang oleh UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor.

 

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada projek loji tenaga solar hibrid satu (1) gigawatt (GW), sebuah projek utama di bawah Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilaksanakan oleh UEM Group Berhad (UEM Group) melalui anak syarikat milik penuhnya dan cabang industri hijau, UEM Lestra Berhad (UEM Lestra).

 

Dalam kerjasama tersebut, Gotion membawa pengetahuan teknologi maju dalam penyelesaian BESS, sementara ITRAMAS akan menyediakan kepakaran dalam akses pasaran tempatan dan pengkomersialan. 

 

UEM Sunrise pula akan memainkan peranan sebagai pemaju utama, menyediakan kemudahan bertaraf tinggi dan memupuk persekitaran yang sesuai untuk inovasi dan kelestarian.

 

Dengan tujuan untuk mendorong daya cipta dan membangunkan bakat tempatan, Gotion dan ITRAMAS merancang untuk bekerjasama dengan organisasi dan institusi akademik tempatan. 

 

ITRAMAS akan bekerjasama dengan TusStar Malaysia, entiti utama TusHoldings, inkubator teknologi terbesar di China, serta kumpulan pemegang saham sains dan teknologi yang dikenali dengan kepakaran dalam kecerdasan buatan (AI). 

 

ITRAMAS juga merancang untuk bekerjasama dengan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, sebuah institusi yang menawarkan program yang dipacu industri untuk melahirkan pemimpin global dalam rumusan automotif mampan.

 

Selain memajukan keupayaan tenaga boleh diperbaharui, kerjasama itu juga memperlihatkan komitmen UEM Sunrise dalam mempercepatkan pembangunan industri dan pertumbuhan Iskandar Puteri sebagai hub industri masa depan. 

 

Dengan penubuhan Taman Perindustrian di Gerbang Nusajaya, projek berkenaan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan, baik secara langsung mahupun tidak langsung, serta memberi sumbangan kepada ekonomi tempatan. 

 

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Asia Pasifik Gotion, Dr. Yan Changqing berkata, kerjasama dengan UEM Sunrise dan ITRAMAS dalam industri tenaga boleh diperbaharui dan teknologi, penting dalam strategi global syarikat. 

 

"Perkongsian ini akan memanfaatkan teknologi maju Gotion High-Tech dalam BESS, digabungkan dengan wawasan pasaran ITRAMAS dan keupayaan infrastruktur UEM Sunrise, untuk bersama-sama memajukan pembangunan industri tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan rantau Asia Tenggara," katanya pada majlis pemeteraian MoU yang diadakan sempena Malaysia-China Summit 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.

 

Turut hadir ialah Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman dan Pengarah Urusan ITRAMAS Corporation, Lee Choo Boo.

 

Acara disaksikan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

 

Sementara itu, Hafizuddin berkata, perkongsian tersebut memperkuatkan strategi pembangunan industri UEM Sunrise, sekali gus memperlihatkan hasrat syarikat menjadikan Iskandar Puteri sebagai hub yang berkembang pesat untuk kemajuan teknologi dan ekonomi. 

 

"Dengan kerjasama ini, kami bukan hanya menempatkan pusat R&D canggih, tetapi kami juga meletakkan asas untuk perubahan yang akan mencipta kesan dalam pelbagai industri dan membentuk ekonomi hijau Malaysia untuk generasi akan datang," ujarnya.

 

Choo Boo pula menyifatkan, kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam projek NETR.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran maju Gotion dalam teknologi BESS, pengetahuan pasaran tempatan kami dan keupayaan UEM Sunrise, inisiatif ini mengukuhkan asas untuk inovasi dan kelestarian. 

 

"Pusat R&D ini akan memainkan peranan penting dalam memupuk bakat tempatan, mendorong penemuan teknologi dan mencipta nilai bagi ekosistem RE dan EV, seterusnya memajukan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam rumusan tenaga bersih," jelasnya. - DagangNews.com