Harga besi naik antara 0.2% hingga 0.9% di seluruh negara pada November 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga besi naik antara 0.2% hingga 0.9% di seluruh negara pada November 2024 - DOSM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Dis - Indeks seunit harga besi merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 0.9 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada November 2024 berbanding bulan lepas, menurut data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini dicatatkan di Kota Kinabalu (0.9%), diikuti dengan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (0.5%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.3%).

 

Selain daripada itu, indeks harga seunit simen dan pasir pula kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada November 2024.

 

 

Namun begitu, terdapat penurunan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 4.4 peratus indeks harga seunit keratan keluli dan logam bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada November 2024 berbanding bulan lepas.

 

 

dosm

 

 

Perbandingan tahunan untuk tempoh November 2023 dan November 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 2.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.8%), diikuti dengan Pahang (2.7%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.2%).

 

Namun begitu, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 0.6 peratus hingga negatif 3.6 peratus pada November 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Ketua Perangkawan Malaysia menyatakan bahawa purata harga simen (Ordinary Portland) merekodkan peningkatan kecil, dengan purata harga RM23.25 per 50 kg sekarung berbanding Oktober 2024 (RM23.22 per 50 kg sekarung).

 

Selain daripada itu purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula telah mencatatkan penurunan (-0.1%) dengan purata harga RM3,628.90 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2024: RM3,631.58 per tan metrik).

 

Purata harga bahan ini juga telah mencatatkan penurunan secara konsisten setiap bulan sejak Julai 2024.

 

IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan penurunan kecil iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.5 peratus pada bulan November 2024 berbanding bulan sebelumnya.

 

Penurunan bagi IKB termasuk bar keluli telah dicatatkan bagi hampir semua kategori bangunan kecuali Cerucuk Kayu di kawasan Perak, Johor dan Terengganu & Kelantan.

 

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit peningkatan antara 0.1 peratus sehingga 0.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan.

 

Tambahan daripada itu, IKB termasuk bar keluli di Sabah pula menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.3 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali Bangunan Kayu dan Cerucuk Kayu di Kota Kinabalu.

 

Manakala, IKB bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan dan Tawau pula kekal tidak berubah.

 

Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada November 2024 juga mencatatkan penurunan kecil antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 1.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching.

 

Manakala IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu pula mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.8 peratus dan IKB termasuk bar keluli bagi kawasan Miri kekal tidak berubah.

 

Bagi perspektif global, berdasarkan laporan Commodity Outlook yang diterbitkan oleh World Bank pada Oktober 2024, harga bijih besi merosot sebanyak 12 peratus pada suku ke-3 2024 (berbanding suku ke-2 2024), namun begitu harga melonjak pada awal Oktober berikutan pengumuman langkah pengawalseliaan bertujuan untuk menstabilkan permintaan hartanah di China.

 

Penurunan harga bijih bes yang merupakan input utama untuk pengeluaran keluli mencerminkan permintaan keluli yang perlahan, terutamanya di China, disamping lebihan yang banyak dalam bekalan.

 

Laporan tersebut turut menjangkakan, kemungkinan sektor hartanah China yang perlahan secara berterusan dijangka akan mengekalkan permintaan bijih besi yang lemah.

 

Selain itu, pertumbuhan yang stabil dalam pengeluaran bijih besi dari Australia dan Brazil sebagai dua pengeluar terbesar dunia bersama-sama dengan pengeluaran kos rendah baru dari Afrika Barat dijangka akan penurunkan lagi paras harga.

 

Laporan in turut menyatakaan jangkaan harga bijih besi turun 10 peratus pada tahun ini. Selain daripada itu, diunjurkan harga bahan ini akan turun sebanyak 12 peratus pada tahun 2025 dan 5 peratus pada 2026. - DagangNews.com