Hartalega terima manfaat tarif import AS ke atas sarung tangan buatan China - CGS International | DagangNews Skip to main content

Hartalega terima manfaat tarif import AS ke atas sarung tangan buatan China - CGS International

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt - Hartalega Holdings Bhd diramal bakal mendapat manfaat daripada tarif import 50% ke atas sarung tangan buatan China yang akan dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS) menjelang 2025, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu juga melaporkan kadar pemulihan mungkin dihadkan akibat persaingan daripada bukan China yang lain, terutamanya pembuat sarung tangan Malaysia. 

 

CGS International juga berkata, pemulihan mungkin dihadkan jika syarikat tidak dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan ketara akibat kekangan bekalan pekerja asing.

 

Selain itu, firma tersebut melaporkan pembuat sarung tangan juga menghadapi masalah tukaran mata wang asing.

 

CGS International mengunjurkan setiap perubahan 5% dalam purata kadar RM/AS boleh memberi kesan terhadap tahun kewangan Hartalega 2026 (FY26) serta pendapatan FY27 sesaham sebanyak 22% hingga 23%.

 

“Walaupun sensitiviti ini kelihatan tinggi, kami menjangka beberapa tahap ketidaktentuan mata wang yang dilalui dan oleh itu mengandaikan kesan negatif yang lebih rendah terhadap kenaikan ringgit,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu membuat bebeapa perubahan pada purata kadar pertukaran ringgit kepada dolar AS yang lebih rendah bagi FY25, FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 4.3, 4.2 dan 4.1.

 

Pertukaran purata matawang RM/AS itu termasuk pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) setiap 1,000 keping AS$1.2 untuk FY25, daripada AS$1 sebelumnya.

 

Katanya, angka pertukaran tersebut adalah untuk mencerminkan keupayaan lulus kos jangka pendek yang lebih baik akibat pengenaan tarif import ke atas sarung tangan buatan China.

 

Tetapi firma tersebut mengekalkan EBIT FY26 dan FY27 setiap 1,000 keping pada AS$2.4 dan AS$2.5 kerana ramalannya sudah mencerminkan dinamik pasaran yang bertambah baik.

 

“Angka-angka ini masih jauh di bawah EBIT purata sejarah FY15 hingga FY19 bagi setiap 1,000 keping AS$4.2, kerana kami berpendapat Hartalega mungkin tidak lagi mempunyai kuasa harga yang sama seperti sebelum ini, memandangkan penubuhan pesaing serantau, serta kapasiti lebihan yang berlarutan,” katanya. - DagangNews.com