Hasil KAB meningkat 94.9% kepada RM85.1 juta pada 3QFY24 berbanding suku sebelumnya dipacu segmen rumusan tenaga lestari | DagangNews Skip to main content

Hasil KAB meningkat 94.9% kepada RM85.1 juta pada 3QFY24 berbanding suku sebelumnya dipacu segmen rumusan tenaga lestari

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kinergy Advancement Bhd (KAB) merekodkan peningkatan hasil sebanyak 94.9% kepada RM81.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM41.8 juta pada suku tahun sebelumnya, dipacu sumbangan lebih tinggi daripada segmen rumusan tenaga lestari (SES).

 

Kumpulan itu turut mencatatkan peningkatan 17.3% dalam keuntungan kasar, yang mencecah RM13.2 juta, mengukuhkan lagi kejayaan kmpulan dalam melaksanakan projek berintensif modal dan pengembangan strategik kedua-dua segmen SES dan kejuruteraan.

 

KAB melaporkan untung bersih teras sebanyak RM6.1 juta untuk 3QFY24, mencerminkan operasi teras yang berdaya tahan semasa fasa pertumbuhan berintensifkan modal.

 

Setakat ini, keuntungan bersih teras kumpulan berjumlah RM16.6 juta, mewakili peningkatan sebanyak 135.0% daripada keuntungan bersih teras sebanyak RM7.08 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Begitu juga, keuntungan kasar mencecah RM36.1 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangannya berakhir 30 September 2024 (9MFY24), peningkatan 32.1% daripada RM27.3 juta pada 9MFY23.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, keputusan itu menunjukkan pertumbuhan asas yang kukuh merentas segmen SES, yang terus menunjukkan prestasi seperti yang dirancang.

 

"Kami kekal fokus untuk mencapai pencapaian sasaran kami, disokong oleh pelaksanaan projek yang mantap dan keuntungan kasar yang dipertingkatkan, menggariskan hala tuju strategik kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, merea mempunyai buku pesanan RM850 juta, dengan RM120 juta dalam projek kejuruteraan dan RM730 juta dalam SES.

 

Tender aktifnya juga berkembang kepada RM3.3 bilion, menunjukkan potensi dan peluang yang ketara dalam projek tenaga dan kejuruteraan mampan pada masa hadapan.- DagangNews.com