Hasil Press Metal Aluminium pada 3QFY24 diramal lebih lemah kesan penyusutan harga aluminium LME, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Hasil Press Metal Aluminium pada 3QFY24 diramal lebih lemah kesan penyusutan harga aluminium LME, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - RHB Investment meramalkan Press Metal Aluminium Holdings Bhd mencatatkan hasil 3QFY24 lebih lemah dengan pendapatan dianggarkan sekitar RM250 juta hingga RM300 juta kesan penyusutan harga aluminium London Metal Exchange (LME) serta kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, perkara itu juga kesan daripada peningkatan kos alumina selain insiden kebakaran kilang di Samalaju pada September 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kebakaran itu menjejaskan sekitar 9% daripada saluran peleburan aluminium (fasa 3) dan pembaikan dijangka mengambil masa antara tiga ke empat bulan.

 

"Pengurusan menganggarkan ia akan mengurangkan kapasiti peleburan tahunan 2024 sebanyak 3%, yang diterjemahkan kepada pengurangan 4% hingga 5% keuntungan kumpulan.

 

"Kos alumina kekal tinggi dalam keadaan bekalan yang terhad pada AS$508.50/tan pada 3QFY24 atau peningkatan 18% dari suku tahun ke suku tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kemudahan peleburan Press Metal Aluminium di Bintulu terbakar, jejas kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3%

 

Terdahulu, kemudahan peleburan Press Metal di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak terbakar, menjejaskan 100 pasu atau satu pertiga daripada kapasiti terpasang di Kilang 3.

 

Kumpulan itu dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan bagi memulihkan operasi yang akan mengurangkan kapasiti peleburan kumpulan sebanyak 3% pada FY24 manakala aset yang rosak dan kehilangan hasil dijangka dilindungi oleh insurans.

 

Kejadian kebakaran berlaku di kemudahan peleburan 3 dan mengurangkan penggunaan loji kepada 95% daripada 98% pada FY24.

 

RHB Investment menjangkakan harga alumina kekal tinggi sebelum kembali normal pada 2025 berikutan peningkatan bekalan dengan pembesaran penapisan ebanyak 1 juta tan di Mempawah, Bintan dan India yang dijadualkan bermula dari 4QFY24 hingga 2027. 

 

Sementara itu, harga anod karbon merosot daripada harga puncak pada 2022 dan kekal stabil sehingga kini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com