KUALA LUMPUR 3 Okt - Maybank dan Bank of Hangzhou, China, memperkukuh hubungan kewangan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan pelanggan dan menyokong inisiatif perniagaan merentas sempadan.
Kerjasama itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, menekankan komitmen kedua-dua institusi untuk menggalakkan hubungan ekonomi yang lebih rapat.
Kerjasama tersebut dimuktamadkan susulan pemeteraian Surat Niat (LOI) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Kerajaan Perbandaran Hangzhou untuk inisiatif Smartup City Connect.
Perkongsian tersebut mencerminkan komitmen untuk memajukan pertumbuhan ekonomi dan inovasi teknologi di rantau ini.
Majlis kerjasama strategik tersebut diadakan di Ekspo Perdagangan Digital Global Ketiga, yang menekankan kepentingan inovasi dan kerjasama dalam landskap kewangan masa kini.
MOU ditandatangani oleh Ketua Strategi dan Transformasi Kumpulan Maybank, Dr Siew Chan Cheong dan Presiden Bank of Hangzhou, Yu Liming, sambal disaksikan Timbalan Pengarah Jeneral Biro Pentadbiran Kewangan Tempatan Hangzhou, Gao Fei.
Selain itu, bank pelaburan China Galaxy Securities yang berperanan sebagai penghubung antara Hangzhou dan Kuala Lumpur turut diwakili Anggota Jawatankuasa Eksekutif dan Pengarah Perniagaannya, Wu Peng.
Perkongsian tersebut bertujuan memudahkan perkhidmatan seperti pembiayaan merentas sempadan, kerjasama antara bank di China dan penyelesaian mata wang Asia Tenggara, serta menghubungkan syarikat-syarikat China dengan ekosistem perniagaan yang lebih luas di rantau ini.
Kedua-dua bank juga akan meneroka peluang dalam perbankan digital termasuk tadbir urus data, analitik dan inovasi produk Fintech, dengan tujuan untuk memperkayakan tawaran pelanggan di kedua-dua pasaran.
Presiden Bank of Hangzhou, Yu Liming berkata, pihaknya teruja mengumumkan perkongsian strategik dengan Maybank, yang menonjolkan ikatan kukuh antara negara dan komitmen terhadap Inisiatif 'Belt and Road'.
"MoU ini selaras dengan matlamat Persidangan Perdagangan Digital Global untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan meningkatkan perdagangan digital global. Kami menantikan hasil yang memberi kesan bagi memajukan hubungan ekonomi dan perdagangan antara dua negara," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli, berkata, kerjasama itu akan mencipta banyak peluang untuk kedua-dua bank.
"Kami bercadang untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang komprehensif sebagai pusat sehenti untuk menyokong syarikat China yang berkembang di Asia Tenggara," tambahnya.
Bank of Hangzhou, yang terkenal di wilayah Zhejiang dengan pertumbuhan selama 28 tahun, memiliki lebih RM1.2 trilion dalam aset dan beroperasi lebih dari 200 cawangan di pusat ekonomi utama di China, merangkumi kawasan maju seperti Delta Sungai Yangtze, Delta Sungai Mutiara dan Rim Ekonomi Bohai.
Sebagai pelopor dalam inovasi kewangan dan pemacu di sebalik Inisiatif Belt and Road, Bank of Hangzhou berada dalam posisi yang baik untuk menyokong perusahaan China yang ingin mengembangkan operasi ke Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com