KUALA LUMPUR 10 Dis - Indeks pengeluaran perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 2.1 peratus daripada tahun sebelumnya pada Oktober, namun data terbaharu tersebut adalah di bawah jangkaan ahli ekonomi.
Keluaran kilang Oktober telah diramalkan berkembang 2.5 peratus, menurut 12 ahli ekonomi yang ditinjau dalam tinjauan Reuters.
"IPP kekal merekodkan pertumbuhan positif pada Oktober 2024, walaupun pada kadar yang lebih perlahan 2.1 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 2.3 peratus pada bulan sebelumnya," kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin hari ini.
Peningkatan ini dipacu oleh sektor Pembuatan yang berkembang sebanyak 3.3 peratus, meningkat daripada 3.2 peratus pada September 2024 dan kenaikan 2.5 peratus dalam output Elektrik (September 2024: 3.9%).
Namun begitu, pengeluaran sektor Perlombongan terus menurun 2.8 peratus berbanding pertumbuhan negatif 2.2 peratus pada bulan sebelumnya. Bagi terma bulan ke bulan, IPP meningkat 1.7 peratus daripada negatif 0.7 peratus pada September 2024.”
Peningkatan dalam output sektor Pembuatan pada Oktober 2024 disokong oleh industri berorientasikan domestik yang berkembang sebanyak 3.3 peratus (September 2024: 2.7%).
Kenaikan ini didorong terutamanya oleh Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus; diikuti oleh Pembuatan produk prosesan makanan iaitu 4.5 peratus; dan Pembuatan produk galian bukan logam lain sebanyak 5.2 peratus.
Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik menurun kepada negatif 0.9 peratus berbanding peningkatan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, pertumbuhan industri berorientasikan eksport kekal kukuh pada kadar 3.3 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.4 peratus pada September 2024.
Prestasi stabil ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit iaitu 12.7 peratus dalam Pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan; dan diikuti oleh Pembuatan produk getah pada kadar 10.9 peratus.
Selain itu, Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal terus menunjukkan momentum positif dengan pertumbuhan sebanyak 2.9 peratus.
Pertumbuhan tahun ke tahun industri berorientasikan eksport dicerminkan oleh prestasi eksport barangan perkilangan negara yang meningkat sebanyak 3.1 peratus pada Oktober 2024.
Bagi terma bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menurun sebanyak 1.4 peratus daripada pertumbuhan negatif 1.6 peratus pada September 2024.
Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menambah, “Penyusutan 2.8 peratus dalam sektor Perlombongan pada Oktober 2024 adalah disebabkan oleh penurunan berterusan dalam pengeluaran Minyak Mentah & Kondensat sebanyak negatif 7.5 peratus (September 2024: -11.4%) dan pertumbuhan perlahan kepada marginal 0.4 peratus dalam output Gas Asli (September 2024: 4.5%).
Sebaliknya, indeks Perlombongan melonjak 14.7 peratus bulan ke bulan, berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, penjanaan Elektrik bertumbuh 2.5 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024 selepas mencatatkan peningkatan 3.9 peratus pada September 2024. Perbandingan dengan bulan sebelumya, indeks Elektrik memulih 4.2 peratus berbanding negatif 3.9 peratus pada September 2024.”
Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara bertumbuh sederhana termasuk China, Singapura, Vietnam dan Taiwan sementara, Korea Selatan dan Jepun kembali kepada jajaran positif pada Oktober 2024.
Sebaliknya, Amerika Syarikat dan Thailand mengalami penurunan marginal pada Oktober 2024.
Merumuskan kenyataan beliau, Ketua Perangkawan berkata, “Bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini (Januari – Oktober 2024), IPP bertumbuh lebih baik kepada 3.7 peratus (Januari – Oktober 2023: 0.8%) dengan kesemua sektor mencatatkan peningkatan, iaitu indeks Perlombongan (0.9%); indeks Pembuatan (4.2%); dan indeks Elektrik (6.0%).” - DagangNews.com