KUALA LUMPUR 7 Jan - Infomina Bhd menerima kontrak bernilai RM22.35 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan untuk Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).
Kumpulan itu berkata, perkhidmatan itu juga melibatkan penyelenggaraan perkhidmatan integrasi daripada AwAS kepada pelbagai entiti untuk memastikan proses penguatkuasaan digital berlaku dalam persekitaran yang selamat.
"Kontrak itu adalah selama tiga tahun bermula 1 Februari 2025 hingga 31 Januari 2028," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sepanjang temoh itu, Infomina juga akan meneroka teknologi terkini, seperti infrastruktur 5G dan kecerdasan buatan automatik bagi meningkatkan pemprosesan imej serta memastikan integrasi yang lancar antara kamera penguatkuasaan sedia ada dan baharu.
Kumpulan itu akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan bekerjasama dengan pasukan projek kerajaan bagi menguruskan pelaksanaan projek AwAS.
Kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh tersebut. - DagangNews.com