KUALA LUMPUR 7 Jan - Pemeteraian perjanjian mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara pemimpin Malaysia dan Singapura hari ini bakal memberi kesan positif kepada pasaran hartanah tempatan, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.
Menerusi JS-SEZ, Kashif menjangkakan zon ekonomi itu memacu pelaburan langsung asing baharu serta meningkatkan sektor pembuatan, pelancongan dan hartanah di Johor.
“Dari aspek positif, pertumbuhan ekonomi Johor dijangka lebih pesat, menghasilkan anggaran sebanyak 0.9% kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang boleh menyumbang sehingga RM20 bilion dalam masa jangka pendek.
"Selain itu, KDNK Johor boleh melebihi RM30 sehingga RM50 bilion daripada projek berskala besar pada paras makro," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas tentang kesan JS-SEZ kepada pasaran hartanah, beliau berkata, zon ekonomi itu bakal menarik lebih ramai pelabur asing yang akan memacu aktiviti perniagaan di Johor.
"Kedatangan pelabur asing akan meningkatkan lagi permintaan pasaran hartanah kediaman, pejabat, perindustrian dan logistik serta melonjakkan harga tanah.
"Pemilik rumah boleh mendapat manfaat daripada pertumbuhan nilai, pasaran hartanah komersial.
Selain itu, beliau juga berkata, JS-SEZ akan memacu pelbagai projek hartanah baharu.
"Projek-projek ini menepati kriteria harga dan lokasi serta keutamaan pasaran, menjadikannya sangat diingini oleh pembeli rumah.
“Singapura akan menyediakan modal, teknologi dan kepakaran, manakala Malaysia akan menyumbang tenaga kerja berkemahiran tinggi, tenaga boleh diperbaharui, tanah dan sumber lain.
"Dengan mengurangkan kos pengangkutan dan cukai, SEZ bakal memberi manfaatkan kepada kedua-dua negara.
"Jika JS-SEZ berjaya, ia akan memberi momentum kepada mereka yang ingin melancarkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Singapura dan Malaysia," katanya.- DagangNews.com