Jualan Sektor Pembuatan berkembang 4.5%, catat RM161.9 bilion pada November 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jualan Sektor Pembuatan berkembang 4.5%, catat RM161.9 bilion pada November 2024 - DOSM

Pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan mencatatkan pertumbuhan sederhana 4.1 peratus berbanding 6.1 peratus pada Oktober 2024. - Gambar Getty Image
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Jan - Jualan Sektor Pembuatan berkembang 4.5 peratus, berjumlah RM161.9 bilion pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan sektor Pembuatan pada November 2024 dipacu terutamanya oleh peningkatan dua angka sebanyak 12.3 peratus dalam subsektor Makanan, minuman & tembakau (Oktober 2024: 11.2%); dan diperkukuhkan oleh kenaikan 7.1 peratus dalam subsektor Peralatan elektrik & elektronik (Oktober 2024: 3.2%).

 

Berdasarkan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 0.3 peratus daripada RM161.4 bilion yang dicatatkan pada Oktober 2024.

 

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.5 peratus daripada jumlah jualan pembuatan bertambah 5.6 peratus, meningkat daripada 3.0 peratus pada Oktober 2024.

 

Pertumbuhan yang stabil ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi kukuh dalam industri Pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (15.0%); Pembuatan produk getah (10.5%); serta Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (7.6%).

 

 

DOSM

 

 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport susut 1.2 peratus pada November 2024.

 

Sementara itu, industri berorientasikan domestik meningkat 1.8 peratus (Oktober 2024: 3.0%). Industri Pembuatan produk pemprosesan makanan merekodkan peningkatan 8.7 peratus berbanding 8.1 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Walau bagaimanapun, Pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan mencatatkan pertumbuhan sederhana 4.1 peratus berbanding 6.1 peratus pada Oktober 2024.

 

Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan industri berorientasikan domestik terus berkembang, merekodkan 4.1 peratus pada November 2024.

 

Ketua Perangkawan menambah, “Seramai 2.40 juta pekerja terlibat dalam sektor Pembuatan pada November 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 1.0 peratus berbanding pertumbuhan 0.9 peratus pada Oktober 2024".

 

Peningkatan ini terutamanya boleh dilihat dalam subsektor Makanan, minuman & tembakau (2.1%); Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (1.3%); dan Produk kayu, perabot, keluaran kertas, percetakan (1.0%).

 

Berbanding dengan bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini bertambah sedikit sebanyak 0.1 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: 0.4%).

 

Pada November 2024, gaji & upah dalam sektor Pembuatan meningkat kepada RM8.30 bilion (Oktober 2024: RM8.28 bilion). Berbanding bulan sebelumnya, gaji & upah meningkat sebanyak 0.2 peratus.

 

Bagi tempoh yang sama, purata gaji & upah bulanan setiap pekerja meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun kepada RM3,455.

 

Sementara itu, nilai jualan setiap pekerja meningkat 3.4 peratus, mencatatkan RM67,414.”

 

Sepanjang sebelas bulan pertama tahun ini (Januari – November 2024), nilai jualan bagi sektor Pembuatan adalah berjumlah RM1,728.1 bilion, meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2023 (Januari – November 2023: 0.6%).

 

Bilangan pekerja menokok sebanyak 1.0 peratus kepada 2.40 juta orang, manakala gaji & upah meningkat 1.5 peratus kepada RM90.4 bilion dengan nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM719,493, merekodkan pertumbuhan 3.4 peratus. - DagangNews.com