Kadar pertumbuhan tahunan CBH Engineering diunjur naik 13.7% kepada RM42.7 juta pada FY25 - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Kadar pertumbuhan tahunan CBH Engineering diunjur naik 13.7% kepada RM42.7 juta pada FY25 - PublicInvest

Gambar hiasan dari laman web rasmi CBH Engineering
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Dis - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menjangkakan CBH Engineering Holding Bhd untuk mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun keuntungan bersih (CAGR) dua tahun sebanyak 13.7% kepada RM42.7 juta pada tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjurnnya disokong oleh jumlah buku pesanan belum dibil CBH Engineering sebanyak RM203.7 juta untuk kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), yang memberikan keterlihatan pendapatan selama satu hingga dua tahun.

 

“Kumpulan itu juga berhasrat untuk meningkatkan kehadiran pasarannya dengan membuat tender bagi projek dengan nilai kontrak yang lebih tinggi dan mengembangkan operasi perniagaannya untuk menyokong pertumbuhan.

 

"CBH telah memperuntukkan sebahagian besar hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk projek masa depan, termasuk mendapatkan peralatan dan komponen, membayar subkontraktor dan menyediakan jaminan bank, mengembangkan tenaga kerjanya dengan mengambil jurutera tambahan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Menurut PublicInvest, pertumbuhan CBH Engineering dijangka didorong oleh pengembangan tenaga kerja dan peningkatan sumber kewangan.

 

Kekuatan daya saing syarikat termasuk penyediaan perkhidmatan M&E yang komprehensif dengan keupayaan reka bentuk dalaman, rekod prestasi yang mantap, keterlihatan kontrak jangka dekat, pasukan pengurusan yang berpengalaman, serta komitmen terhadap kawalan kualiti.

 

Oleh itu, firma itu telah menetapkan harga sasaran (TP) pada 41 sen, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan 18 kali ganda kepada unjuran pendapatan sesaham FY25 sebanyak 2.3 sen.

 

“Trajektori pertumbuhan kumpulan bergantung kepada pertumbuhan berterusan dan peningkatan pelaburan dalam hartanah kediaman, komersil, perindustrian, serta industri pengguna akhir seperti pusat data di Malaysia.

 

"Pertumbuhan ini didorong oleh penyepaduan teknologi digital dan disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan peningkatan dalam permintaan luar," katanya.

 

CBH Engineering sedang mencari penyenaraian dengan modal saham terbitan dan berbayar yang diperbesarkan sebanyak 1.88 bilion saham di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Berdasarkan harga IPO sebanyak 28 sen, kumpulan itu dijangka menjana permodalan pasaran sebanyak RM526.7 juta .

 

PublicInvest berkata, IPO itu dijangka mengumpul RM83.4 juta daripada terbitan 298 juta saham baharu, dengan 93.2% daripada hasil diperuntukkan untuk modal kerja, meningkatkan kapasiti CBH Engineering untuk membuat tender dan melaksanakan lebih banyak projek.

 

Sehingga 25 November 2024, syarikat itu mempunyai 12 kontrak sedia ada dengan jumlah buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM203.7 juta, terdiri daripada kerja-kerja kejuruteraan M&E dan telah mengemukakan 22 tender dengan jumlah tender RM559.7 juta.- DagangNews.com