Kaotim, jenama dan platform digital Takaful Malaysia perkenal pelan perlindungan kenderaan persendirian dan motosikal secara dalam talian | DagangNews Skip to main content

Kaotim, jenama dan platform digital Takaful Malaysia perkenal pelan perlindungan kenderaan persendirian dan motosikal secara dalam talian

Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein (dua kiri) dan Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli (kiri) pada pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor di Pulau Pinang.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Okt – Jenama dan platform digital yang diuruskan oleh Takaful Malaysia, Kaotim melancarkan Kaotim Car dan Kaotim Motor yang menawarkan pelan perlindungan dalam talian terbaharu dan komprehensif bagi kenderaan persendirian dan motosikal pada harga yang berpatutan untuk pemilik kenderaan di Malaysia. 

 

Dengan pelancaran produk baharu itu, pemilik kenderaan dapat mengakses pelan perlindungan secara pantas mengikut keperluan, sekali gus memilih faedah tambahan yang sesuai dengan bajet mereka.


 
Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein;  Pengerusi Takaful Malaysia Am (bahagian Takaful Am Takaful Malaysia), Ismail Mahbob; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal; Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli; ahli-ahli Lembaga Pengarah Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am; Badan Penasihat Syariah; serta Pengurusan Kanan Takaful Malaysia.


 
Nor Azman berkata, pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan syarikat dalam bidang insurans dan takaful motor yang menunjukkan pertumbuhan positif serta selaras dengan permintaan dan peningkatan jualan kenderaan di pasaran. 

 

"Kami berhasrat untuk memperluaskan langkah dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan dalam talian untuk memenuhi keperluan pelanggan. 

 

"Sehubungan itu, kami teruja memperkenalkan Kaotim Car dan Kaotim Motor di bawah jenama Kaotim. Kedua-dua produk baharu ini menyediakan perlindungan komprehensif mampu milik dan mudah diakses yang membolehkan pelanggan mendapatkan sebut harga dan perlindungan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan.


 
Kaotim Car merupakan perlindungan komprehensif bagi kenderaan persendirian terhadap pelbagai risiko, termasuk kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, liabiliti kepada pihak ketiga, atau kerosakan harta benda. 

 

Selain itu, pelan berkenaan menawarkan bantuan tepi jalan 24 jam serta perkhidmatan tunda tanpa had akibat kerosakan secara percuma, malah turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi untuk pemandu dan penumpang. 

 

Terdapat 11 faedah tambahan yang fleksibel, termasuk Motor PA Plus, yang menawarkan perlindungan tambahan terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya, sekali gus pelanggan dapat membuat pilihan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. 

 

Kaotim Motor pula menawarkan perlindungan motosikal komprehensif terhadap kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian serta liabiliti kepada pihak ketiga untuk kematian, kecederaan badan dan kerugian atau kerosakan harta benda. 

Perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam dengan perkhidmatan tunda akibat kerosakan sekali secara percuma turut disediakan. 

 

Pelanggan boleh menambah baik perlindungan mereka dengan memilih mana-mana daripada empat faedah tambahan, termasuk Bike PA Plus iaitu perlindungan kemalangan peribadi terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya. 

 

Nor Azman menjelaskan, dengan Kaotim Car, pelanggan dapat menikmati pelan ansuran untuk bayaran sumbangan tanpa faedah, diskaun serta-merta sebanyak sepuluh peratus 10%, serta perlindungan kemalangan peribadi percuma sebanyak RM15,000 untuk setiap individu yang dilindungi. 

 

Sementara itu katanya, Kaotim Motor menawarkan diskaun serta-merta sepuluh peratus 10%, perkhidmatan tunda akibat kerosakan sekali secara percuma dan perlindungan untuk semua penunggang yang dibenarkan.


 
"Pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami untuk memperkenalkan lebih banyak pelan perlindungan dalam talian. Inisiatif ini memanfaatkan platform digital kami untuk menawarkan transaksi dalam talian yang lebih lancar, sesuai dengan gaya hidup terkini. 

 

"Ini selaras dengan peningkatan permintaan pelan perlindungan untuk kenderaan persendirian dan motosikal dalam pasaran insurans am dan takaful di Malaysia," ujarnya. - DagangNews.com