Kapal penyelidikan antarabangsa OceanXplorer laksanakan misi sains di perairan Sabah | DagangNews Skip to main content

Kapal penyelidikan antarabangsa OceanXplorer laksanakan misi sains di perairan Sabah

Gambar/ OceanX
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Dis - Organisasi penyelidikan global OceanX merancang untuk melaksanakan misi sains di perairan Sabah pada 2025 menggunakan kapal penyelidikan canggih, OceanXplorer.

 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, kerajaan menyokong sebarang inisiatif yang memberi manfaat kepada negeri dan komuniti tempatan.

 

OceanX adalah sebuah organisasi sains global penerokaan laut yang menjalankan penyelidikan menerusi kapalnya, OceanXplorer yang turut berfungsi sebagai platform pendidikan terapung.

 

"Saya percaya lawatan sulung OceanXplorer ini akan meningkatkan lagi reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan yang ideal. Saya difahamkan misi sains yang dicadangkan ini akan melibatkan saintis tempatan dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

 

"Ia adalah langkah yang tepat pada masanya memandangkan Sabah juga memiliki tapak Unesco Triple Crown di mana Taman Kinabalu diiktiraf sebagai Geopark Global Unesco, terkenal dengan biodiversiti yang meluas," katanya seperti laporan The Borneo Post selepas menerima kunjungan hormat dari delegasi OceanX yang memberi taklimat mengenai kemungkinan penemuan sains di perairan Sabah.

 

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Perkongsian Sains Asia Pasifik (APAC), Dr. Felicia Shaw dan Pengurus Perkongsian OceanX, Zi Jin Wong, dari pejabat serantau OceanX itu, membincangkan kerjasama dengan Sabah dalam penemuan sains dan pembelajaran dengan saintis serta pelajar tempatan.

 

Mereka turut disertai oleh Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Fiona Hagan, yang merupakan pemimpin dalam bidang kelestarian industri hospitaliti.

 

Dalam perbincangan itu, Shaw berkongsi misi OceanX untuk meneroka lautan dan membawanya kembali kepada dunia.

 

"Kami mencapai matlamat ini melalui rangkaian global pengembara, saintis dan pencerita, yang bekerjasama untuk mendidik, memberi inspirasi dan memacu perubahan positif.

 

"Dengan melibatkan UMS dan saintis tempatan dalam misi kami menerusi OceanXplorer, kami berharap dapat menyingkap misteri lautan sambil melibatkan pelajar melalui inisiatif berimpak, seperti program sosial dari Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu," katanya.

 

Katanya, OceanX telah mengembara ke lebih 20 negara, lima lautan dan memetakan lebih 150,000 kilometer persegi dalam misi sainsnya selama 12 tahun lalu.

 

"Di OceanX, kami komited untuk menjalankan ekspedisi selama lima tahun di Asia Tenggara, sebuah kawasan dengan kepelbagaian yang luar biasa," katanya. - DagangNews.com