KUALA LUMPUR 30 Okt - Karex Bhd diramal mencatatkan keputusan lebih baik pada FY25 disokong sumbangan daripada produk sintetik baharu, kedudukan pasaran yang kukuh serta keupayaan R&D dalam memenuhi pilihan pengguna yang sentiasa berubah.
RHB Investment berkata, kelulusan Europe Conformite Europeenne (CE) dan US Food & Drug Administration (FDA) baru-baru ini adalah bukti jenama Karex diterima ramai dalam industri pembuatan kondom global.
Katanya, pensijilan itu ditetapkan untuk membuka jalan bagi pelancaran produk di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) pada FY25.
"Walaupun bahan sintetik masih tidak diketahui, tetapi kami memahami, ia jauh lebih murah daripada produk sintetik lain yang tersedia di pasaran dan cenderung untuk memperoleh margin yang lebih tinggi.
"Penggunaan produk sintetik yang semakin meningkat dan ia ditetapkan untuk terus memacu permintaan untuk alternatif sintetik kepada lateks," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, saiz pasaran kondom global dianggarkan pada AS$11.6 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$20.7 bilion menjelang 2030.
Katanya, pemacu utama termasuk peningkatan kesedaran tentang penggunaan kondom untuk mengurangkan penyebaran virus HIV dan jangkitan seksual (STI) yang lain.
"Pengedaran kondom melalui kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu mengekalkan jualan pembuat kondom - terutamanya di negara membangun, di mana kesedaran tentang seks selamat masih rendah," katanya.
Firma penyelidikan itu tidak menetapkan sebarang penarafan dan menetapkan harga wajar (FV) RM1.02 sesaham.- DagangNews.com